DARI IDEA LOKAL KE IMPAK GLOBAL: CEDI, UIB DAN SID MEMPERKASAKAN KEUSAHAWANAN SOSIAL MAHASISWA
Berita dan gambar oleh: Dr. Hanis Hazwani binti Ahmad
BATAM, INDONESIA, 30 Oktober 2026 – Usaha memperkasakan mahasiswa dengan kemahiran keusahawanan berteraskan nilai komuniti terus diperhebat menerusi penganjuran program Bootcamp Keusahawanan Sosial: Dari Idea Lokal ke Impak Global yang berlangsung di Universitas Internasional Batam (UIB).
Inisiatif anjuran Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) ini dirangka khusus untuk memperkasakan bidang keusahawanan sosial dalam kalangan pelajar UUM dan UIB, sekali gus melatih mereka menterjemahkan potensi tempatan menjadi penyelesaian bertaraf dunia.

Pengarah Eksekutif Sociopreneur Indonesia (SID), Dr. Dessy Aliandrina, menyatakan bahawa pengisian kem keusahawanan ini memberi tumpuan kepada aspek kelestarian pelancongan bagi membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat dan mengeluarkan masyarakat kampung daripada kepompong kemiskinan. Beliau turut berkongsi pandangan mengenai nilai sebenar sebuah pembaharuan dalam dunia perniagaan masa kini.
“Inovasi yang tidak menyelesaikan masalah bukanlah inovasi sebenar. Sebaliknya, inovasi yang benar-benar menyelesaikan masalah akan mencipta pasaran baharu di mana pesaing tidak akan semudah itu untuk meniru,” ujar beliau ketika berkongsi kepakaran bersama para peserta.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Dr. Juhaida binti Abu Bakar, menyatakan bahawa penganjuran program ini amat signifikan dalam memberikan pendedahan langsung serta kefahaman mendalam mengenai impak sosial kepada para mahasiswa, di samping menyemai kepekaan terhadap cabaran yang dihadapi komuniti luar bandar.

Program kolaboratif serantau ini turut diperkukuhkan dengan kehadiran barisan wakil pengurusan universiti tuan rumah, antaranya Ketua Pejabat Hubungan Antarabangsa UIB, Dr. Sri Anggreini, serta Koordinator Kerjasama Pejabat Hubungan Antarabangsa UIB, Honey Yahdillah.
Menerusi pembabitan rentas sempadan ini, para pelajar bukan sahaja diasah dari sudut penciptaan model perniagaan mampan, malah dipupuk untuk menjadi agen perubahan yang mampu membina ekosistem ekonomi inklusif demi kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.



