General

TRANSFORM-U: BUKAN SEKADAR LAWATAN, TETAPI PERMULAAN IMPIAN KE UNIVERSITI

Berita dan gambar oleh: Muhammad Syahmi bin Jumbri

SINTOK, 14 hingga 16 November 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan bidang pendidikan komuniti menerusi penganjuran Program Transformasi Sekolah Angkat Madani Generasi Universiti (Transform-U) 2026 yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula dari 14 hingga 16 November lalu.

Program berimpak tinggi ini telah menghimpunkan seramai 87 orang pelajar Tingkatan Empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap.

Inisiatif ini dirangka khusus bagi merapatkan jurang pendedahan antara pendidikan peringkat sekolah menengah dengan institusi pengajian tinggi, di samping menyemai aspirasi kecemerlangan akademik dalam kalangan generasi muda.

Sepanjang program ini berlangsung, kesemua peserta telah ditempatkan di Inapan Siswa Angkasa dan Muamalat. Penempatan strategik yang berdekatan dengan penempatan mahasiswa UUM ini memberi peluang keemasan kepada para pelajar untuk merasai sendiri suasana sebenar kehidupan kampus, termasuk aspek pengurusan masa, berdikari, serta budaya pembelajaran di menara gading.

Menurut penganjur, pemilihan pelajar Tingkatan Empat sebagai kumpulan sasaran adalah amat bertepatan memandangkan mereka merupakan calon yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan.

Pendedahan awal ini diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat serta membuka minda mereka untuk merancang hala tuju pendidikan selepas tamat alam persekolahan.

Bagi memastikan objektif program tercapai, pelbagai pengisian komprehensif dan interaktif telah disusun rapi. Antara slot utama yang menjadi tumpuan ialah sesi ceramah motivasi dan bimbingan kerjaya yang bertujuan membantu para pelajar mengenal pasti potensi diri serta menetapkan matlamat akademik yang jelas sebelum melangkah ke tahun peperiksaan.

Di samping itu, program ini turut diserikan dengan sesi perkongsian istimewa daripada Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Za’im bin Ahmad, yang mengupas mengenai cara untuk terus mengekalkan momentum semangat serta penerapan nilai profesionalisme dalam diri pelajar.

Antara kata-kata khimat yang mencuri tumpuan dalam ucapan beliau adalah, “Kegagalan itu lumrah; ia bukan noktah yang mengukur kelemahan diri, sebaliknya batu loncatan terpenting untuk kita melangkah menuju puncak kejayaan,” ujar beliau.

Selain itu, para peserta turut dibawa merasai kemeriahan dan prestij Majlis Konvokesyen UUM yang sedang berlangsung. Pengalaman menyaksikan secara dekat detik kejayaan para graduan berjubah konvokesyen dilihat berjaya menyuntik inspirasi mendalam kepada para pelajar untuk mengimpikan kejayaan yang sama pada masa hadapan.

Seterusnya, slot jelajah kampus turut diadakan bagi memperkenalkan prasarana serta kemudahan yang disediakan di UUM. Para peserta berpeluang melawat Perpustakaan Sultanah Bahiyah serta beberapa lokasi ikonik di sekitar kampus bagi memberikan gambaran jelas mengenai ekosistem pembelajaran yang kondusif.

Secara keseluruhannya, penganjuran Program Transform-U 2026 ini bukan sahaja berjaya mencapai matlamatnya dalam menyuntik motivasi kepada pelajar SMK Padang Terap, malah mencerminkan peranan proaktif UUM dalam menyokong agenda pendidikan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Inisiatif berimpak sosial ini turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), di samping memperkukuh tadbir urus tanggungjawab sosial universiti berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Diharapkan pengalaman berharga sepanjang tiga hari ini akan diterjemahkan kepada kecemerlangan akademik para peserta dalam peperiksaan SPM kelak.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button