MEMPERKASA BAKAT MUDA: 32 MAHASISWA UUM SERTAI PROGRAM GRADUAN KE KOPERASI (G2K)
Gambar Oleh: Azfar Raziq bin Amran
Petaling Jaya – Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah menghantar seramai 32 orang mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menyertai Program Graduan ke Koperasi (G2K): Sijil Pengurusan Koperasi yang telah berlangsung dari 13 hingga 15 November 2026 bertempat di Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Petaling Jaya, Selangor.

Program berimpak tinggi ini telah menghimpunkan keseluruhan seramai 165 orang mahasiswa daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen IKMa dalam memperkasakan gerakan koperasi di institusi pengajian tinggi (IPT) melalui penyediaan latihan, pendidikan, khidmat nasihat dan bimbingan profesional berkaitan pengurusan koperasi.
IKMa berperanan sebagai rakan strategik kepada IPT dalam membangunkan modal insan koperasi, memperkukuh jaringan antara universiti dengan gerakan koperasi serta memupuk budaya berkoperasi dalam kalangan warga kampus khususnya mahasiswa.

Melalui peranan tersebut, IKMa turut membantu IPT meningkatkan keupayaan pengurusan koperasi dari aspek tadbir urus, pentadbiran, kewangan dan pembangunan perniagaan.
Sokongan ini penting bagi memastikan koperasi di IPT dapat diuruskan secara lebih profesional, berdaya saing dan berupaya menjadi platform pembangunan keusahawanan serta penjanaan ekonomi dalam kalangan mahasiswa.
Penganjuran kursus intensif ini bertujuan memberikan pendedahan secara komprehensif mengenai selok-belok pengurusan koperasi, aspek perundangan, tadbir urus organisasi serta pelbagai maklumat strategik yang berkait rapat dengan ekosistem gerakan koperasi di Malaysia.

Melalui penganugerahan Sijil Pengurusan Koperasi ini setiap peserta memperoleh nilai tambah yang signifikan terhadap pencapaian kendiri sekali gus membuka peluang cerah untuk menempatkan diri di mana-mana cawangan Institut Koperasi Malaysia di seluruh negara.
Penglibatan aktif delegasi mahasiswa UUM ini bukan sahaja berjaya memperkukuh jaringan kerjasama antara IPT malah dilihat sebagai langkah proaktif dalam melahirkan generasi pelapis berkemahiran tinggi yang bersedia memacu kecemerlangan sosioekonomi koperasi negara pada masa hadapan. – Suhaida Azmi



