SQS SEMARAKKAN MINAT MATEMATIK MENERUSIAKTIVITI MATCH MATH (M2) DI SMK POKOK SENA 2
Gambar oleh: Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad dan Ts. Dr. Huzaifah Dzubaidi
Pokok Sena – Usaha membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan generasi muda terus diperkasakan apabila sekumpulan pensyarah Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) Universiti Utara Malaysia (UUM) turun padang menjayakan Program STI 100³ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena 2, pada 23 November 2026 yang lalu.

Program berimpak tinggi yang diketuai oleh Dr. Hisham Haron bersama barisan pensyarah SQS Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad dan Ts. Dr. Huzaifah Dzubaidi serta dibantu oleh En. Muhammad Afdal Azmi itu melibatkan penyertaan aktif guru-guru serta pelajar-pelajar sekolah berkenaan.
Tarikan utama program kali ini ialah pelaksanaan aktiviti interaktif ‘Match Math’, yang dirangka khusus bagi mengubah persepsi pelajar terhadap subjek Matematik daripada sesuatu yang sukar dan abstrak kepada pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, praktikal dan mencabar minda.
Menurut Dr. Hisham Haron, pendekatan pembelajaran secara hands-on dan berasaskan permainan seperti ‘Match Math’ amat berkesan dalam memupuk pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.
Sepanjang sesi berlangsung, para pelajar dibimbing secara langsung oleh barisan pensyarah SQS dan guru-guru sekolah dalam menyelesaikan cabaran ‘Match Math’, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang dinamik dan inklusif.

Sementara itu, pihak pengurusan SMK Pokok Sena 2 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UUM khususnya SQS atas kesudian memilih sekolah tersebut sebagai lokasi pelaksanaan program, serta berharap jaringan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan sekolah dapat diteruskan pada masa akan datang.
Penganjuran program ini sejajar dengan komitmen berterusan UUM dalam menyokong agenda pemindahan ilmu kepada komuniti serta melahirkan modal insan berdaya saing yang celik sains, teknologi dan inovasi. – Dr. Hisham Haron



