Campus

Program USR: Redang Cares inisiatif kelestarian pulau dan penglibatan komuniti

Berita dan gambar oleh: Muhammad Shahril Ikhwan Mohd Badri

PULAU REDANG, 17 Jun 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan komitmennya terhadap agenda tanggungjawab sosial universiti (University Social Responsibility – USR) menerusi penganjuran Program USR: Redang Cares – Inisiatif Kelestarian Pulau dan Penglibatan Komuniti yang berlangsung selama empat hari bermula 17 hingga 20 Jun 2026 di Kampung Pulau Redang, Terengganu.

Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa/Residen Siswa (JKPSRS) Inasis Luar Kampus UUM dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulau Redang ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti serta pembentukan sahsiah mahasiswa.

Sepanjang empat hari penganjuran, seramai 25 orang mahasiswa bersama lima orang staf pengiring telah melaksanakan pelbagai aktiviti khidmat komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan Islam, pembersihan pantai, mengecat semula Balai Raya Kampung Pulau Redang, sesi santuni komuniti asnaf, program kesedaran berkaitan syariah, keselamatan siber dan anti-scammer, serta lawatan marin bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan ekosistem laut.

Pemilihan Pulau Redang sebagai lokasi program dibuat bertepatan dengan keperluannya sebagai destinasi ekopelancongan yang kaya dengan biodiversiti marin namun berhadapan cabaran akibat peningkatan aktiviti pelancongan dan pencemaran pesisir pantai.

Justeru, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar bukan sahaja membantu memelihara keindahan pulau, malah memberi pendedahan secara langsung mengenai kepentingan pengurusan alam sekitar yang mampan serta tanggungjawab setiap individu dalam memastikan kelestarian sumber semula jadi terus terpelihara.

Selain memberi impak kepada komuniti, program ini turut menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) kepada mahasiswa. Melalui pelaksanaan aktiviti lapangan dan interaksi bersama masyarakat setempat, peserta berpeluang mengaplikasikan ilmu kepimpinan, komunikasi, pengurusan program serta kerja berpasukan dalam situasi sebenar.

Pengalaman tersebut secara tidak langsung membantu membentuk mahasiswa yang lebih berdaya saing, prihatin terhadap masyarakat serta mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi.

Kerjasama erat yang terjalin antara UUM dan komuniti Kampung Pulau Redang sepanjang program ini turut memperlihatkan komitmen bersama dalam memperkasakan pembangunan komuniti luar bandar.

Penglibatan aktif penduduk kampung dalam setiap aktiviti yang dijalankan berjaya mewujudkan suasana saling bekerjasama, berkongsi pengalaman serta mengeratkan hubungan antara warga universiti dan masyarakat setempat.

Di samping itu, pelaksanaan Program Redang Cares turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) khususnya SDG 14: Life Below Water, melalui pelaksanaan aktiviti pemuliharaan kawasan pantai, pengurangan pencemaran serta usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan melindungi ekosistem marin.

Program ini juga menyumbang kepada pencapaian indikator utama UUM dalam memperluaskan impak program USR dan meningkatkan bilangan komuniti luar yang menerima manfaat daripada pelaksanaan program universiti.

Secara keseluruhannya, Program USR: Redang Cares berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan dengan memperlihatkan sinergi kukuh antara mahasiswa, universiti dan komuniti dalam menjayakan agenda pembangunan mampan.

Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan Universiti Utara Malaysia dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai jati diri, semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial yang tinggi selaras dengan aspirasi universiti untuk terus menjadi institusi yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan kelestarian alam sekitar di peringkat nasional.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button