Bakal Duyufurrahman UUM didoakan peroleh haji mabrur
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 23 April 2025: Majlis Bersama Duyufurrahman Tahun 1446H/2025M Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung di Dewan Seri Angsana, EDC-UUM, semalam.
Majlis anjuran Jabatan Sumber Manusia dengan kerjasama Pusat Islam itu dimulakan dengan ceramah ibadah haji yang disampaikan oleh Pembimbing Haji Lembaga Tabung Haji, Musa Hassim, diikuti dengan bacaan Yasin.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan turut hadir memeriahkan majlis dan menyampaikan ucapan penghargaan kepada bakal jemaah.
Beliau merakamkan ucapan tahniah dan doa agar semua bakal tetamu Allah dari kalangan warga UUM dapat menunaikan ibadah haji dengan lancar dan memperoleh haji yang mabrur.
“Saya percaya segala persiapan telah dibuat sebaiknya, dan saya mendoakan agar segala urusan bakal jemaah haji ini dipermudahkan.
“Seluruh warga UUM akan terus mendoakan kesejahteraan para jemaah sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan, Dr. Mohd Foad turut menyampaikan cenderahati kepada 34 bakal jemaah, termasuk Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russyani Ismail.
Seramai enam staf dijadualkan berangkat ke Tanah Suci dalam kumpulan pertama pada 28 April ini.
Salah seorang daripada mereka melahirkan rasa syukur kerana menerima panggilan haji selepas 16 tahun menanti.
“Semoga kami semua selamat pergi dan pulang. Saya juga amat berterima kasih kepada pihak universiti kerana memberikan cuti haji selama 40 hari kepada kami,” katanya.
Seorang lagi penerima turut berkongsi rasa syukur dan berharap dikurniakan kesihatan yang baik bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima itu.
“Semoga kami dapat menunaikan haji dengan sempurna, memperoleh haji yang mabrur dan pulang ke tanah air dalam keadaan selamat,” katanya. – Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)