TNCPI tekankan pelaksanaan ‘Quick Wins’ dan pengukuhan kolaborasi strategik bersama PTJ
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 7 Julai 2025: Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad mengajak semua PTJ di bawah portfolio TNCPI memainkan peranan secara kolektif dan proaktif dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan universiti yang berimpak tinggi.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk dihubungi pada bila-bila masa, sebagai simbol keterbukaan dan komitmen terhadap penyelesaian pantas serta komunikasi inklusif antara pejabat TNCPI dan semua pusat tanggungjawab.
Menyentuh soal budaya kerja dan inovasi, Dr. Ram Al Jaffri menekankan kepentingan sikap progresif, keterbukaan terhadap idea baharu, serta keberanian untuk bereksperimen demi penambahbaikan berterusan.
“Saya amat berharap agar semua PTJ dapat membantu dan menyokong saya dalam menjayakan amanah ini. Kita perlu saling bekerjasama untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada universiti dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan sulung bersama Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah portfolio TNCPI, bersempena hari pertama beliau memulakan tugas sebagai TNCPI UUM, semalam.
Dr. Ram Al Jaffri turut mengajak semua Ketua PTJ untuk meneruskan inisiatif dan amalan terbaik yang telah diperkenalkan oleh mantan TNCPI, Prof. Dr. Russayani Ismail, di samping meneroka pendekatan yang lebih segar dan relevan.
Beliau turut menekankan keperluan untuk merangka hala tuju strategik dalam bidang Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (Research, Development, Innovation, Commercialization, and Economy – RDICE), selaras dengan aspirasi universiti untuk terus kekal relevan dan berdaya saing di peringkat nasional dan global.
Menurutnya, inisiatif ‘quick wins’ boleh dikenal pasti dan dilaksanakan dalam tempoh terdekat sebagai langkah pantas bagi mempercepat pencapaian serta menyelaras keutamaan yang mendesak.
Pada masa yang sama, beliau menggariskan kepentingan pembangunan infrastruktur fizikal dan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang kukuh, pemerkasaan aktiviti keusahawanan, serta pengukuhan jalinan kerjasama bersama industri dan komuniti.
Kesemua elemen ini dilihat sebagai teras utama dalam menyokong ekosistem RDICE yang lestari, menyeluruh dan berimpak tinggi.
Sebagai penutup, beliau menegaskan bahawa budaya inovasi dan kecemerlangan dalam penyelidikan hanya akan dapat dicapai melalui dukungan bersama, komunikasi terbuka dan tindakan yang berani.
Beliau yakin bahawa PTJ di bawah portfolio TNCPI mampu menjadi pemangkin kepada perubahan strategik dan impak tinggi demi masa depan universiti. – Norhana Shaibatul Khadri