Campus

Khutbah Khas OSH Week 2025: Islam tegaskan amanah menjaga keselamatan di tempat kerja

Gambar Pusat Islam dan Bahagian Pengurusan Risiko

SINTOK, 20 Julai 2025: Sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) 2025, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Khutbah Khas Jumaat yang mengangkat tema “Merevolusikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Peranan Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan di Tempat Kerja”.

Inisiatif ini dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Risiko UUM dengan kerjasama Pusat Islam UUM, bertujuan memperkukuh kesedaran dalam kalangan warga kampus terhadap kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dari sudut pandang Islam seiring kemajuan Revolusi Industri 4.0 dan persekitaran kerja digital masa kini.

Khutbah tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Sabri di Masjid Sultan Badlishah, UUM.

Dalam khutbahnya berkata, dalam Islam, pengurusan keselamatan dan kesihatan bukan sekadar urusan teknikal, sebalinya ia adalah tanggungjawab spiritual yang perlu dipikul setiap insan sebagai amanah Allah SWT.

Teks khutbah menekankan bahawa keselamatan di tempat kerja bukan sahaja berkait dengan kepatuhan undang-undang, tetapi juga merupakan amanah agama yang sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek pemeliharaan nyawa (ḥifẓ al-nafs) dan akal (ḥifẓ al-‘aql).

Khutbah turut memberi penekanan kepada peranan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha mencegah kemalangan. Teknologi seperti sensor pintar, sistem pemantauan masa nyata serta simulasi latihan maya dilihat mampu memperkukuh ketahanan dan kesiapsiagaan pekerja terhadap risiko di tempat kerja.

Antara inti pati penting lain dalam khutbah khas ini ialah keselamatan dan kesihatan sebagai tuntutan agama dan nilai takwa, peranan AI dalam mencegah kemalangan dan mempercepat analisis risiko dan
etika kerja Islam: tidak memudaratkan diri dan orang lain.

Selain itu, nyawa sebagai nikmat dan amanah Allah yang wajib dipelihara, tanggungjawab bersama antara majikan dan pekerja untuk mematuhi prosedur dan menilai risiko serta doa agar usaha keselamatan sentiasa disertai keikhlasan dan kebertanggungjawaban.

Turut menunaikan solat Jumaat bersama-sama warga kampus dan komuniti setempat ialah Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan. – Nurulwajhi Yahaya

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button