Bengkel ICC bahas strategi menukar output sains sosial kepada produk pengkomersialan
Berita dan gambar Mohamad Lutfi Idris
SINTOK, 6 Ogos 2025: Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel ‘Dari Output Sains Sosial ke Pasaran: Menjana Nilai daripada Penyelidikan Akademik’ melibatkan 30 staf UUM, semalam.
Ketua Pengarah Eksekutif, Asiatech Education Sdn. Bhd., Dr. Eric Balan telah dijemput mengendalikan bengkel yang berlangsung di Bilik Melaka, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM).
Bagi tujuan meningkatkan kerelevenan penyelidikan dan output yang menyumbang kepada negara, Dr. Eric telah membahaskan kepentingan pemetaan kajian dan output kajian kepada beberapa polisi/dasar kerajaan seperti Malaysian Grand Challenge, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Hala tuju Pembangunan Mampan (SDG), Kerangka Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Dasar Pengkomersialan Harta Intelek dan Reka Cipta dibiayai Kerajaan, dan Polisi Utama TeknologiĀ seperti kecerdikan buatan (AI), blockchain, keselamatan siber, dan lain-lain.
Dalam bengkel tersebut, Dr. Eric turut membentangkan beberapa kajian kes berhubung pengalaman institusi terpilih dalam aspek tahap kesediaan teknologi (TRL) dan tahap kesediaan pengkomersialan (CRL).
Hasil analisis kajian kes menunjukkan keperluan mempunyai strategi pelaksanaan jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi tujuan pembangunan dan perkembangan pemindahan teknologi dan pengkomersialan.
Pengarah ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar telah menyatakan kesediaan untuk terus membimbing dan membantu warga UUM untuk meningkatkan aspek penukaran output sains sosial ke pasaran, dalam usaha untuk menjana nilai penyelidikan akademik.