Pelajar INASIS Luar Kampus sertai lawatan budaya RUTS di Nakhon Si Thammarat
Gambar oleh Muhammad Haziq Haikal Muhammad Iskandar Zulkarnain
NAKHON SI THAMMARAT, THAILAND, 20 Ogos 2025: Seramai 21 orang pelajar INASIS Luar Kampus telah menyertai lawatan budaya anjuran Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS). Lawatan ini melibatkan tiga lokasi utama di wilayah Nakhon Si Thammarat.
Lokasi pertama ialah Persimpangan Thung Song (Thung Song Junction), stesen kereta api utama yang berperanan sebagai pusat pengangkutan dan logistik di selatan Thailand.
Peserta menerima taklimat berkaitan latar belakang sejarah dan peranan stesen tersebut dalam pembangunan wilayah.
Lokasi kedua ialah Muzium Wayang Kulit Nang Talung. Peserta didedahkan kepada seni persembahan tradisional masyarakat Thai Selatan melalui demonstrasi dan sesi interaktif bersama penggiat seni tempatan.
Lawatan diakhiri di Wat Phra Mahathat Woramahawihan, sebuah kuil Buddha yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Taklimat diberikan berkaitan sejarah pembinaan, elemen seni bina serta nilai budaya dan keagamaan kuil tersebut.
RUTS menyatakan komitmen untuk meneruskan penganjuran lawatan seumpama ini sebagai usaha memperkukuh hubungan serantau, memperluas pengetahuan pelajar serta menyokong pembelajaran berasaskan pengalaman luar bilik kuliah – Muhammad Haziq Haikal bin Muhammad Iskandar Zulkarnain