Festival of Ideas peringkat UUM dilancarkan
Gambar oleh Shamsaimi Ezil
SINTOK, 9 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI) melancarkan Festival of Ideas (FoI) peringkat universiti yang berlangsung di Foyer Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, dengan kehadiran Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, staf serta tetamu jemputan.
“Festival ini bukan sahaja menonjolkan hasil penyelidikan dan inovasi, malah menjadi pemangkin kepada penghasilan idea yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Menurutnya, FoI sebagai platform untuk mengangkat budaya penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan idea yang berimpak tinggi, seiring dengan aspirasi UUM dalam menjadikan universiti berteraskan penyelidikan.
Katanya, FoI adalah satu idea bernas Kementerian Pendidikan Tinggi untuk merealisasikan idea sebagai cetusan yang menghasilkan penyelidikan dan seterusnya membuahkan hasil berinovasi.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof.. Dr.. Ram Al Jaffri Saad selaku pengerusi festival peringkat negeri Kedah, berkata penganjuran program itu membuka ruang kepada warga akademik universiti untuk berkongsi kepakaran, menghasilkan inovasi dan memperkukuh budaya penyelidikan.
Beliau turut menegaskan bahawa UUM sentiasa menyokong usaha meningkatkan kreativiti dan daya saing pensyarah dalam melahirkan produk penyelidikan yang mempunyai nilai tambah dan berimpak tinggi.