UUM dan TERAJU PERKASA Komuniti Kuala Sungai Muda, Kedah melalui projek Muscling the Mussels Farming Community
Berita dan gambar oleh: Nursyafinaz Shahidan
KUALA SUNGAI MUDA, KEDAH, 7 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah melaksanakan Program Lawatan Tapak serta Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Muscling the Mussels Farming Community yang telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, Naib Canselor UUM.
Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai agensi pemberi dana, bertujuan membantu meningkatkan pendapatan serta ekonomi masyarakat luar bandar di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Seramai 25 orang terdiri daripada wakil universiti, ketua penyelidik, agensi pelaksana dan komuniti setempat telah hadir bagi menjayakan program yang melibatkan sesi lawatan tapak, gimik perasmian serta penyerahan projek kepada komuniti penerima manfaat. Puan Suhaila Salleh, Pengarah Jabatan Program Assurance & Management TERAJU, serta pegawai-pegawai TERAJU turut memeriahkan majlis.
Dalam ucapannya, Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menegaskan bahawa kejayaan projek komuniti bukan hanya diukur berdasarkan pelaksanaannya semata-mata, tetapi juga melalui impak jangka panjang yang dapat dinikmati oleh masyarakat.
“Keberhasilan projek komuniti bukan hanya diukur pada majlis hari ini, tetapi pada sejauh mana ia mampu memberi manfaat berterusan kepada masyarakat. Oleh itu, saya menyeru agar komuniti setempat mengambil peluang untuk mengurus dan memanfaatkan projek ini sebaik mungkin. Begitu juga warga universiti diseru untuk terus memantau, menyokong dan menambah baik inisiatif ini supaya kekal relevan dan lestari,” ujar beliau.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada TERAJU atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada UUM dalam menjayakan usaha memperkasa komuniti melalui projek berimpak tinggi seperti ini. Tidak dilupakan juga penghargaan kepada ketua penyelidik dan ahli pasukan yang telah menjayakan projek ini.
Majlis turut diserikan dengan sesi lawatan tapak projek di Teluk Bayu, penerangan projek oleh Ketua Program, serta simbolik perasmian dan penyerahan projek kepada wakil komuniti.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UUM dalam meneruskan agenda University for Society (U4S) yang menekankan peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi komuniti luar bandar.