Campus

Festival Idea @ Kedah pacu kreativiti dan inovasi anak tempatan

Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 10 Oktober 2025 – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh budaya ilmu dan inovasi dengan penganjuran Festival Idea @ Kedah (FOI) yang berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, hari ini.

Program anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI) itu menjadi platform bagi mengetengahkan hasil penyelidikan, inovasi dan idea kreatif warga universiti kepada masyarakat.

Majlis perasmian festival telah disempurnakan oleh Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, Naib Canselor UUM.

Dalam ucapan alu-aluan, Profesor Ts. Dr. Osman Ghazali, Penolong Naib Canselor UUM College of Arts and Sciences (UUM CAS) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Festival Idea UUM, berkata penganjuran festival ini merupakan platform untuk mengarusperdanakan hasil penyelidikan dan idea inovatif kepada masyarakat setempat.

Menurut beliau, Festival Idea @ Kedah merupakan kesinambungan kepada Festival Idea Putrajaya yang dianjurkan tahun lalu dan kini diperluas ke peringkat negeri bagi menggalakkan penglibatan lebih meluas dalam dunia penyelidikan serta perkongsian ilmu.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad bin Sakdan menegaskan bahawa universiti bukan sahaja berperanan menghasilkan pengetahuan, tetapi juga memastikan pengetahuan tersebut dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat.

Beliau turut berkongsi pengalaman dan pandangan agar warga universiti mencontohi model inovasi yang diamalkan oleh universiti di Taiwan, yang berjaya melahirkan pelbagai hasil inovasi berasaskan keperluan masyarakat setempat.

“Universiti di Taiwan berjaya mengarusperdanakan budaya inovasi melalui pendekatan perkongsian idea yang terbuka serta berteraskan keperluan komuniti mereka sendiri. Inovasi yang dihasilkan pula lebih tertumpu kepada aplikasi praktikal yang menggabungkan unsur tradisi dan teknologi terkini dengan sokongan berterusan daripada pihak berkepentingan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pelaksanaan Festival Idea (FOI) ini juga bertujuan membina dan memupuk budaya inovasi dalam kalangan generasi muda serta menjadi platform untuk berkongsi pengalaman dan hasil penyelidikan yang dijalankan oleh warga universiti.

Majlis diakhiri dengan gimik perasmian festival dan lawatan ke reruai pameran oleh  Naib Canselor bersama tetamu jemputan bagi meninjau hasil penyelidikan, inovasi dan produk komuniti yang dipamerkan.

Turut hadir, Dato’ Haji Zepri Saad, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri Kedah; Profesor Madya Dr. Muhammad Nasri Md. Hussain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UNISHAM; Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; Profesor Dr. Nor Idayu Mahat, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan; para tetamu jemputan, pegawai-pegawai kanan universiti serta sekretariat majlis.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button