Campus

Staf PPKKG dan pelajar praktikum sertai program USR bersama trash hero Langkawi di Pantai Cenang

Berita dan gambar: Anis Zulaikha binti Kamal

LANGKAWI, 2 Oktober 2025, Staf Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) bersama pelajar praktikum PPKKG telah menyertai program Tanggungjawab Sosial Universiti (University Social Responsibility – USR) di sekitar Pantai Cenang, Langkawi. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pertubuhan sukarelawan alam sekitar, Trash Hero Langkawi.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar, di samping memupuk semangat sukarelawan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.

Sepanjang program berlangsung, para peserta bergotong-royong mengutip pelbagai jenis sisa termasuk puntung rokok, bateri terpakai, plastik, botol serta bahan buangan lain yang mencemarkan kawasan pantai. Aktiviti ini turut mendapat perhatian positif daripada pelancong dan masyarakat setempat yang menyokong usaha menjaga kebersihan destinasi pelancongan terkenal itu.

Menurut Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah PPKKG, program seumpama ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada staf dan pelajar tentang isu pencemaran dan pengurusan sisa berbahaya, malah mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat melalui amalan tanggungjawab sosial.

Wakil Trash Hero Langkawi turut berkongsi maklumat mengenai kesan negatif sisa seperti puntung rokok dan bateri terpakai terhadap alam sekitar. Puntung rokok mengandungi bahan kimia berbahaya seperti nikotin dan plumbum yang boleh mencemarkan air serta membahayakan hidupan laut, manakala bateri terpakai pula mengandungi logam berat seperti merkuri dan kadmium yang boleh menjejaskan kualiti tanah serta mengancam kesihatan manusia jika tidak dilupuskan dengan betul.

Pelaksanaan program ini membuktikan bahawa kerjasama antara universiti dan organisasi komuniti seperti Trash Hero Langkawi mampu memberi impak positif terhadap kebersihan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button