Campus

STML perkukuh jalinan penyelidikan antarabangsa

Berita dan gambar Dr. Fadhilah Mat Yamin

SINTOK, 2 November 2025: Dalam usaha memperkukuhkan jalinan penyelidikan antarabangsa, Jawatankuasa Penyelidikan, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan bengkel bertajuk “Bridging Research Across Borders: Building Sustainable Academic Networks” yang berlangsung di Intelligence Idea Room, STML.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Kamarul Irwan Abd Rahim berkata, objektif utama bengkel adalah untuk memperkukuh jaringan kolaborasi penyelidikan rentas sempadan yang sedia ada serta memperkasa keupayaan penyelidik dalam membina rangkaian akademik yang mampan dan berdaya saing di peringkat global.

“STML berhasrat agar penganjuran ini menjadi platform strategik bagi para penyelidik untuk berkongsi idea, menimba pengalaman baharu, dan membina jalinan kolaborasi yang mampu membuka lebih banyak peluang penyelidikan antarabangsa pada masa hadapan,” katanya.

Bengkel ini menampilkan dua tokoh akademik antarabangsa sebagai penceramah jemputan, iaitu Dr. Magdalena Muradin dari Poznan University of Economics and Business, Poland, dan Prof. Madya Dr. Shazia Hassan dari National Defence University Islamabad, Pakistan. Kedua-duanya berkongsi pandangan dan pengalaman berharga berdasarkan kepakaran masing-masing, serta menyoroti peluang dan strategi dalam membina jaringan penyelidikan global yang berimpak tinggi dan mampan.

Dr. Magdalena menerusi pembentangan bertajuk Circular Economy and Sustainable Business.Principles, Models and Examples telah memikat perhatian peserta dengan huraian mendalam mengenai konsep ekonomi kitaran (circular economy) serta model perniagaan mampan yang dapat menyokong pembangunan lestari dan tanggungjawab sosial dalam sektor industri.

Sementara Dr. Shazia Hassan melalui pembentangan bertajuk Advancing Knowledge through Multidisciplinary Research: Integrating Methods, Minds, and Meanings menekankan kepentingan pendekatan penyelidikan pelbagai disiplin dalam memperkaya landskap ilmu pengetahuan.

Beliau menyoroti akan kepentingan penyelidikan pelbagai disiplin dalam memperkaya ilmu pengetahuan, di samping menggabungkan pelbagai kaedah dan perspektif untuk menghasilkan penyelesaian yang lebih holistik.

Melalui penganjuran bengkel ini, STML berhasrat untuk terus menjadi pemangkin kepada pembangunan jaringan penyelidikan yang kukuh, sekali gus memperluas keterlibatan universiti dalam komuniti akademik antarabangsa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button