Campus

Perbincangan strategik QiTi Research Group perkukuh agenda penyelidikan dan inovasi SQS

Gambar Ruzleeta Zakaria

SINTOK, 28 Julai 2026: Momentum penyelidikan di Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) terus dipacu apabila Quantitative Instruments & Teaching Innovation (QiTi) Research Group menggerakkan perbincangan strategik bagi menterjemahkan peruntukan dana RM5,000 kepada pelan tindakan penyelidikan dan inovasi yang konkrit.

Lebih daripada sekadar sesi perancangan, pertemuan ini menandakan permulaan agenda kumpulan untuk membina rangkaian penyelidikan yang mampan, seiring hasrat Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI) bagi memperkasakan budaya penyelidikan dan inovasi di Universiti Utara Malaysia (UUM).

QiTi Research Group diketuai oleh Prof. Madya Dr. Shamshuritawati Sharif bersama barisan ahli terdiri daripada Dr. Naqibah Aminuddin Jafry, Yuhaniz Ahmad, Norhafiza Mohd Noor, Ruzleeta Zakaria dan Zakiah Hashim menggabungkan kepakaran dalam pengukuran kuantitatif, pembangunan instrumen, dan inovasi pengajaran.

Dr. Shamshuritawati berkata, perbincangan memberi tumpuan kepada penetapan sasaran jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan setiap peruntukan dana menghasilkan impak melalui penerbitan berimpak tinggi, produk inovasi, serta output penyelidikan yang memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat.

Selain itu, menurutnya, QiTi Research Group turut bersedia menawarkan khidmat pembangunan instrumen penyelidikan dan sesi bimbingan (coaching) kepada penyelidik, pelajar pascasiswazah, dan pihak yang memerlukan sokongan dalam mereka bentuk, membangunkan, serta mengesahkan instrumen penyelidikan yang berkualiti.

Ke arah pelaksanaan yang lebih fokus, ahli kumpulan dibahagikan kepada beberapa pasukan kecil mengikut bidang kepakaran masing-masing. Mesyuarat berkala pula dicadangkan sebagai mekanisme pemantauan berterusan untuk menilai perkembangan projek, menangani cabaran secara proaktif, dan memastikan setiap sasaran dicapai mengikut jadual.

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah usaha memperkasakan program STI 100³ tahun 2025 anjuran Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) yang telah berjaya diterajui oleh Yuhaniz Ahmad, Norhafiza Mohd Noor dan Zakiah Hashim ke peringkat yang lebih tinggi melalui transformasi kepada produk digital seperti modul dalam talian, platform interaktif, dan bahan pembelajaran digital yang boleh dimanfaatkan secara berterusan oleh komuniti sasaran.

Pendekatan ini dilihat mampu memanjangkan jangka hayat impak projek melangkaui tempoh pelaksanaan asal, di samping membuka ruang kepada pengiktirafan harta intelek, penerbitan berwasit, serta potensi pengkomersialan pada masa hadapan. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh semangat kolaborasi dalam kalangan ahli QiTi, malah menyumbang secara langsung kepada aspirasi UUM sebagai universiti yang cemerlang dalam penyelidikan, pembangunan, dan inovasi. – Naqibah Aminuddin Jafry

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button