Campus

Pusat Pengajian Undang-undang rai 140 pelajar cemerlang di Majlis Anugerah Dekan Sesi A242

Berita dan gambar  Ahmad Termizi Othman

SINTOK, 13 Januari 2026: Pusat Pengajian Undang-undang (SoL) telah mengadakan Majlis Anugerah Dekan bagi meraikan kecemerlangan akademik pelajarnya.

Majlis tersebut menyaksikan seramai 140 pelajar menerima pengiktirafan atas usaha gigih dan disiplin yang ditunjukkan sepanjang sesi pengajian.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 104 orang merupakan pelajar daripada program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB), manakala 36 orang lagi adalah daripada program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (BPLB)3.

Dekan SoL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab menekankan bahawa kejayaan ini bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia menuntut pengorbanan masa, tenaga, dan ketajaman minda.

Beliau turut menitipkan pesanan agar pelajar sentiasa mengimbangi kecemerlangan akademik dengan sahsiah diri.

“Ingatlah, kecemerlangan akademik haruslah seiring dengan sahsiah yang terpuji. Jadilah graduan yang bukan sahaja bijak, tetapi juga berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Beliau juga berharap agar pelajar program LLB terus berusaha menjadi pengamal undang-undang yang berintegriti, manakala pelajar BPLB digesa untuk terus meneroka sinergi antara falsafah, perniagaan, dan perundangan dalam mendepani cabaran kerjaya yang kompleks.

Di samping itu, Dr. Harlida juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja SoL yang sentiasa komited dalam memastikan kualiti penyampaian ilmu berada pada tahap tertinggi demi melahirkan graduan yang mampu mengharumkan nama pusat pengajian di persada global.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, Dr. Mukhriz Mat Rus serta staf pusat pengajian.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button