Halal4Youth perkukuh keyakinan, kreativiti dan kesediaan industri pelajar BHalal
Berita dan gambar oleh Dr. Norazilawati Md Dahlal
CHANGLUN, 9 Januari 2026: Program Halal4Youth, anjuran Program Sarjana Muda Pengurusan Halal dengan Kepujian (BHalal), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah dilaksanakan dengan jayanya di Kolej Matrikulasi Kedah sebagai inisiatif pemantapan diri pelajar sebelum melangkah ke alam industri.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Selamah Maamor, Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), UUM.
Dalam ucapanya, beliau yang menekankan kepentingan pemantapan ilmu dan kemahiran halal dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran industri halal yang semakin dinamik.

Halal4Youth merupakan Siri 3 dalam Program Pemantapan Diri Pelajar BHalal Kohort A231, yang memfokuskan kepada khidmat masyarakat melalui aktiviti kesedaran halal serta interaksi langsung pelajar BHalal dengan komuniti belia.
Program ini turut dilaksanakan sebagai projek kursus BIMCN3073 Industri Makanan Halal dan dikendalikan oleh Dr. Norazilawati Md Dahlal selaku penyelaras kursus.
Menurut Penilai Jemputan Projek Kursus BIMCN3073, Prof. Madya Dr. Azizah Othman, yang juga merupakan Pensyarah BHalal IBS UUM, Halal4Youth ialah satu platform pembelajaran yang sangat bermanfaat.

Inisiatif ini bukan sahaja membantu membina keyakinan pelajar berhadapan dengan masyarakat, malah memberi peluang kepada mereka untuk menonjolkan bakat dan kreativiti, di samping mengaplikasikan ilmu yang dipelajari tanpa tertumpu kepada pembelajaran teori semata-mata.
Program ini turut mendapat sokongan Penilai Jemputan Luar, Ustazah Sharifah Noorulhayati Habib Elias, Ketua Unit Pendidikan Islam dan Moral, Kolej Matrikulasi Kedah.

Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Jabatan Sastera Ikhtisas dan Sains Sosial, selaku wakil tertinggi Kolej Matrikulasi Kedah, En. Mohd Huzairi bin Hasan, serta pensyarah-pensyarah BHalal IBS UUM dan pensyarah Kolej Matrikulasi Kedah yang memberikan sokongan moral dan akademik kepada para pelajar dan peserta sepanjang program berlangsung.
Seramai 45 orang pelajar Kolej Matrikulasi Kedah telah terlibat sebagai kumpulan sasaran dalam pelaksanaan aktiviti Halal4Youth. Secara keseluruhannya, program ini berperanan sebagai platform persediaan akhir pelajar BHalal ke industri, selari dengan aspirasi UUM dalam melahirkan graduan yang holistik, berkeyakinan, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.



