Campus

Edutourism IBS bersama Bandon Wittaya School Foundation, Pattani rancak jaringan antarabangsa UUM

Berita dan gambar Dr. Mohd Badrul Hakimi Daud

SINTOK, 29 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Unit I-Wealth dan Jawatankuasa Promosi Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan Kelab IFBA (Islamic Finance and Banking Association) telah menganjurkan Program Edutourism Komuniti Bersama Bandon Wittaya School Foundation, Pattani, Thailand dengan penyertaan delegasi pelajar dan guru dari selatan Thailand bagi mengikuti program pembelajaran berasaskan pengalaman yang menggabungkan elemen akademik, komuniti dan budaya di kampus UUM serta lokasi terpilih di Kedah dan Pulau Pinang.

Program selama tiga hari yang berlangsung dari 13 hingga 15 Januari lalu melibatkan seramai 25 pelajar bersama tiga guru pengiring dari Bandon Wittaya School Foundation.

Pensyarah IBS, Dr. Mohd Badrul Hakimi Daud berkata, lawatan ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada suasana kehidupan kampus universiti awam Malaysia, di samping memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan antara institusi pendidikan di Thailand dan UUM.

Sepanjang pelaksanaan program, peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti berstruktur termasuk sesi lawatan akademik dan pendidikan, pembelajaran berasaskan komuniti serta lawatan sekitar kampus dan lokasi bersejarah, yang dirangka khusus bagi meningkatkan kefahaman terhadap peluang pendidikan tinggi dan memupuk minat untuk melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia.

Penganjuran program ini turut menjadi platform strategik kepada IBS UUM untuk mempromosikan program pengajian prasiswazah dan pascasiswazah di peringkat antarabangsa, selain menyumbang kepada pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti berkaitan pengantarabangsaan, jalinan kerjasama institusi luar negara serta agenda Pendidikan Berkualiti selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan, Sustainable Development Goals (SDG 4).

Peserta, Sanmi Masae berkata, program ini memberi pengalaman baharu kepadanya meskipun pernah beberapa kali ke Malaysia tetapi belum pernah masuk ke mana-mana universiti di sini.

Menurutnya, daripada program ini, dia menjadi semakin berminat untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia terutama sekali di UUM.

Seorang lagi peserta, Abdulhakim Kasor berkata, dia gembira dapat menyertai program ini kerana dapat merasai pengalaman yang berbeza berbanding di Pattani.

Selain memberi manfaat kepada peserta antarabangsa, program ini juga melibatkan penyertaan aktif staf akademik dan pelajar Universiti Utara Malaysia sebagai penganjur dan fasilitator, sekali gus menyumbang kepada pembangunan kemahiran insaniah, kepimpinan dan komunikasi antara budaya serta memperkukuh peranan UUM sebagai hab pendidikan dan penglibatan komuniti di peringkat serantau dan antarabangsa .

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button