Sebuah PhD yang diraih di tengah-tengah kesedihan, ketidaktentuan, dan perjuangan untuk terus hidup
Refleksi penuh keikhlasan ini ditulis oleh seorang cendekiawan Palestin yang perjalanannya mengingatkan kita bahawa ilmu mampu bangkit walaupun dari runtuhan.
Nama saya Mohammed Fadil Hussein Elmassarey. Saya berasal dari Gaza, Palestin.
Hari ini, saya ingin berkongsi sebuah kisah. Ia bukan sekadar kisah tentang memperoleh Doktor Falsafah (PhD). Ia adalah kisah sebuah perjalanan yang dipertahankan oleh iman, oleh kebaikan orang asing yang akhirnya menjadi keluarga dan oleh satu janji yang saya buat kepada diri sendiri untuk terus melangkah, walau apa pun yang berlaku.

Segalanya bermula dengan sebuah impian dan sepucuk surat iaitu surat tawaran daripada Universiti Utara Malaysia (UUM). Kemudian, Allah membuka satu lagi pintu apabila saya dianugerahkan biasiswa MIS daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Biasiswa itu menjadi asas segalanya. Ia bukan sekadar bantuan kewangan tetapi ia adalah satu mesej yang menyatakan, “Minda anda penting. Masa depan anda berbaloi untuk dilaburkan.” Saya akan sentiasa berterima kasih kepada Malaysia atas kepercayaan tersebut.
Di Malaysia, saya menemui pembimbing saya iaitu penyelia utama saya, Prof. Madya Dr. Norashidah Hashim dan penyelia bersama saya, Dr. Maliani Mohammad. Sejak pertemuan pertama, Prof. Norashidah bukan sahaja memberi saya buku-buku tentang keusahawanan, beliau memberikan saya cara baharu untuk melihat cabaran. Beliau mengajar saya tentang kesabaran melalui kisah Nabi Musa dan Al-Khidr dalam Surah Al-Kahfi. Beliau mengajar saya untuk mengucapkan “Alhamdulillah” bukan hanya ketika keadaan mudah, tetapi terutamanya ketika keadaan sukar. Beliau menjadi seperti seorang ibu kepada saya. Dr. Maliani pula menjadi seperti seorang kakak. Di tanah asing, merekalah keluarga saya.
Saya berpeluang ke UUM sebanyak dua kali. Setiap perjalanan dari Gaza mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari penuh cabaran dengan merentasi sempadan dan melalui beberapa negara. Namun, dapat duduk bersama mereka dan belajar secara bersemuka berbaloi dengan setiap kesukaran yang ditempuh.

Kami bekerja langkah demi langkah. Mereka mendorong saya untuk menerbitkan kajian dan dengan izin Allah, kami beralih daripada jurnal di dunia Arab kepada penerbitan dalam jurnal berindeks Scopus berdasarkan tesis saya sendiri. Alhamdulillah.
Kemudian…peperangan bermula.
Selepas 7 Oktober 2023, dunia kami di Gaza musnah sepenuhnya. Rumah keluarga saya hancur (total lost). Saya kehilangan saudara-mara dan sahabat tercinta yang gugur sebagai syuhada. Kami berpindah lebih daripada sepuluh kali, melarikan diri daripada kematian yang jatuh dari pesawat-pesawat tentera yang kejam. Kami berdepan kelaparan. Kami mencari roti sambil mencari keselamatan. Elektrik, internet, air, semuanya hilang. Dalam dunia seperti itu, bagaimana mungkin seseorang memikirkan tentang PhD? Yang difikirkan hanyalah untuk terus hidup.
Namun, saya telah membuat satu janji. Pengajian saya dalam Keusahawanan menjadi usaha peribadi saya sendiri iaitu usaha untuk terus bertahan.

Komputer riba yang saya selamatkan dari bawah runtuhan adalah satu-satunya alat yang saya miliki. Saya berjalan berbatu-batu melalui jalanan berbahaya hanya untuk mencari sedikit sumber kuasa bagi mengecasnya. Saya memanjat ke tempat tinggi, berharap dapat menangkap isyarat internet yang lemah untuk menghantar emel kepada universiti dan penyelia saya dan sekadar untuk berkata, “Saya masih di sini. Saya masih bekerja.” Penyelidikan dilakukan di celah-celah letupan bom.
Cabaran terakhir ialah viva. Sempadan ditutup. Perjalanan adalah mustahil. Universiti saya, UUM memberikan pengecualian khas dengan membenarkan saya mempertahankan tesis secara dalam talian. Namun, di manakah di Gaza boleh ditemui sebuah bilik yang sunyi dengan bekalan elektrik dan internet yang stabil untuk saat sepenting itu?
Lebih seminggu saya mencari. Akhirnya, sebuah organisasi menawarkan saya sebuah bilik. Alhamdulillah.

Kemudian timbul satu lagi persoalan di mana mungkin dianggap remeh oleh sesetengah orang. Semua pakaian saya tertimbus di bawah runtuhan rumah. Bagaimana saya boleh menunjukkan penghormatan kepada upacara akademik ini? Rakan-rakan dan komuniti saya berganding bahu. Seorang memberi saya kemeja, seorang lagi seluar, dan seorang lagi jaket. Saya menyusun sepasang sut daripada kebaikan mereka.
Pada hari viva, di dalam bilik pinjaman itu, saya mempertahankan hasil kerja saya. Dan dengan rahmat Allah yang Maha Besar, saya lulus dengan pembetulan kecil sahaja.
Apabila semuanya selesai, saya menangis. Saya menangisi perjalanan ini daripada harapan pertama melalui surat tawaran, kepada kehancuran rumah saya, hingga ke saat kejayaan ini. Saya menangis dengan hati yang penuh dengan ucapan “Alhamdulillah.”
Pencapaian ini bukan milik saya seorang. Ia milik Allah terlebih dahulu. Kemudian milik keluarga saya di Gaza yang tabah bersama saya. Kepada penyelia saya, Prof. Norashidah Hashim dan Dr. Maliani Mohammad yang menjadi pelindung dan pembimbing saya. Kepada UUM dan biasiswa MOHE yang mempercayai saya sejak awal.

Pesanan saya kepada sesiapa yang sedang berdepan dengan halangan adalah ini, jadikan kesabaran sebagai senjata anda. Jadikan kesyukuran sebagai perisai anda. Dan jangan sekali-kali berhenti melangkah di jalan anda.
PhD ini adalah untuk Gaza. Ia adalah bukti bahawa walaupun dari bawah runtuhan, kita mampu bangkit. Kita mampu belajar. Kita mampu mencapai kejayaan.
Alhamdulillah, atas segala-galanya.
Terima kasih.



