Organisasi perlu adaptasi model baharu bagi hadapi cabaran masa depan
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
ALOR SETAR, 11 Februari 2026: Sesi perkongsian Up close & Personal with the Chairman..Rethinking Leadership for Public Universities, A Reflective Discourse bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff telah menekankan kepentingan penggunaan kuasa tenaga kerja secara strategik dalam membangunkan organisasi, khususnya dalam sektor kerajaan yang dianggarkan mempunyai kira-kira 1.3 juta penjawat awam.
Penekanan diberikan kepada bagaimana kuasa tersebut boleh dimanfaatkan sama ada dalam konteks kepimpinan mahupun pelaksanaan dasar.
Beliau berkata demikian sempena Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi UUM di Grand Alora, dekat sini, semalam.

Turut dibincangkan ialah keperluan institusi termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) menyesuaikan model operasi baharu agar kekal relevan dalam persekitaran global yang semakin kompetitif termasuk perubahan landskap ekonomi, perkembangan teknologi maju serta trend global dilihat sebagai faktor penting yang mempengaruhi hala tuju pembangunan organisasi.
Selain itu, aspek modal insan dan inovasi disebut sebagai pemacu utama bagi memastikan organisasi mampu bergerak pantas dan responsif terhadap perubahan, kepimpinan yang jelas, perancangan strategik serta penyesuaian dasar pembangunan juga dianggap kritikal untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang negara.
Dr. Mazlan turut menegaskan bahawa kerjasama antara institusi, kerajaan dan pihak berkepentingan lain perlu diperkukuhkan bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara mampan serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Kepentingan keusahawanan dan R&D dalam industri
Selain itu, beliau juga berkongsi tentang pembangunan industri dan keusahawanan, kepentingan penyelidikan serta pembangunan (R&D) sebagai pemacu utama pertumbuhan syarikat, khususnya sejak era 1970-an apabila banyak firma industri mula memberi fokus kepada inovasi teknologi.

Menurutnya, syarikat berteraskan teknologi pada masa itu berkembang melalui usaha R&D yang kukuh, sekali gus membuka laluan kepada kemunculan syarikat teknologi besar serta perubahan landskap perniagaan global.
Dalam masa sama, ciri-ciri individu berorientasikan “prospector” atau peneroka pasaran turut diketengahkan. Antara ciri utama termasuk semangat keusahawanan, keberanian menjadi perintis pasaran serta keupayaan mengenal peluang lebih awal berbanding pesaing.
Selain inovasi radikal, pendekatan peningkatan secara berperingkat (incremental) juga dilihat penting bagi memastikan kestabilan operasi syarikat yang melibatkan pengukuhan proses operasi, konsolidasi perniagaan dan penyesuaian strategi mengikut permintaan pasaran.
Perkongsian itu turut menyentuh cabaran realiti industri, termasuk tekanan pasaran, perubahan nilai ekonomi serta keperluan mentaliti pembelajaran berterusan bagi memastikan organisasi kekal berdaya saing.
Seimbangkan inovasi dan kualiti akademik

Dalam konteks universiti pula, Dr. Mazlan menggesa universiti seimbangkan inovasi dan kualiti akademik.
Perbincangan berkaitan hala tuju inovasi dalam sektor pendidikan tinggi menekankan kepentingan keseimbangan antara pendekatan inovasi radikal dan pengekalan kualiti akademik, khususnya dalam konteks pembangunan program pascasiswazah serta teknologi baharu.
Beliau menekanan keperluan universiti dan institusi kerajaan bertindak sebagai penggubal dasar yang responsif terhadap perubahan persekitaran global. Antara fokus utama termasuk penerokaan teknologi baharu, inovasi keusahawanan serta pembangunan pedagogi yang lebih resilien bagi menghadapi cabaran masa depan.
Namun begitu, pemerhatian menunjukkan sebahagian besar kepimpinan organisasi cenderung mengambil pendekatan berhati-hati atau defensif, terutama apabila berdepan inovasi berisiko tinggi atau belum terbukti walaupun pendekatan ini membantu memastikan jaminan kualiti dan kestabilan operasi, ia kadangkala menyukarkan institusi menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dunia semasa.
Sehubungan itu, institusi pendidikan digesa mencari titik pertemuan antara inovasi pantas dengan penambahbaikan secara berperingkat.

Menurutnya, langkah ini penting bagi memastikan inovasi dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kualiti akademik, di samping memperkukuh daya saing universiti di peringkat antarabangsa.
Kepercayaan terhadap universiti kian teruji dalam era globalisasi dan teknologi
Institusi pengajian tinggi awam kini berdepan cabaran semakin kompleks apabila legasi serta peranan tradisional universiti diuji dalam suasana global yang berubah pantas. Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk jurang kepercayaan masyarakat, peningkatan hutang pelajar serta keperluan menghubungkan pendidikan akademik dengan tuntutan dunia sebenar.
Menurut Dr. Mazlan, universiti kini perlu menilai semula tujuan sosial mereka selain memastikan integriti dan kredibiliti institusi terus terpelihara. Hakisan kepercayaan terhadap institusi awam dilihat sebagai fenomena global yang memerlukan respons strategik daripada sektor pendidikan.
Selain itu, persaingan daripada kemajuan teknologi turut memberi tekanan kepada universiti untuk menyesuaikan dasar serta pendekatan pembelajaran.

Dilaporkan hanya sekitar 43 peratus institusi pendidikan tinggi mempunyai dasar jelas berkaitan penggunaan teknologi baharu, manakala kira-kira 78 peratus pihak berkepentingan masih kurang memahami potensi penuh teknologi tersebut.
Dalam masa sama, isu pembiayaan pendidikan dan hutang pelajar terus menjadi perhatian, sekali gus menuntut pendekatan lebih lestari agar akses kepada pendidikan tinggi tidak terjejas.
Perkukuh penyelidikan dan transformasi digital
Usaha memperkukuhkan penyelidikan serta pembangunan teknologi digital memerlukan pendekatan lebih tersusun, termasuk penggunaan sumber secara optimum dan komunikasi yang berkesan antara pihak berkepentingan.
Perkara ini turut ditekankan Dr. Mazlan berkaitan pembangunan penyelidikan, yang menyorot kepentingan mengenal pasti sumber sedia ada serta tidak hanya memberi tumpuan kepada sasaran baharu semata-mata yang dilihat mampu memastikan kesinambungan inovasi dan impak penyelidikan.

Selain itu, empat ciri utama kesan penyelidikan turut diketengahkan sebagai panduan bagi memastikan hasil kajian memberi manfaat lebih luas kepada masyarakat serta pembangunan negara.
Pendekatan Baharu Libat Urus Pihak Berkepentingan
Dr. Mazlan menekankan kepentingan memahami peranan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pelajar, pengurusan, alumni dan masyarakat dalam memperkukuhkan hubungan organisasi serta meningkatkan keberkesanan komunikasi.
Dalam pembentangan tersebut, beliau menjelaskan penggunaan pendekatan analisis “kuadran dua kali dua” bagi menilai tahap pengaruh serta tahap formaliti sesuatu pihak.
Menurutnya, terdapat kelompok yang bersifat tidak rasmi tetapi mempunyai pengaruh besar, sekali gus perlu diberi perhatian dalam strategi komunikasi dan pengurusan organisasi.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa walaupun sesetengah pihak tidak berada dalam struktur rasmi atau kurang berpengaruh secara langsung, mereka masih memainkan peranan penting kerana memahami kehendak serta sentimen komuniti.
Di akhir sesi, Dr. Mazlan mengingatkan setiap jabatan supaya memastikan hubungan dengan pihak berkepentingan terus diperkukuh serta mengambil kira persekitaran operasi semasa, khususnya dalam konteks organisasi awam.
Pendekatan strategik ini dilihat mampu membantu organisasi membuat keputusan lebih tepat, selain memastikan komunikasi dengan masyarakat dan pihak berkaitan berjalan secara lebih efektif.



