Education

Bengkel Modul 2: Penjenamaan produk bagi program keusahawanan lestari perkasa kitar tinggi berasaskan ESG

Berita dan gambar Kaswizawati Md Basir

SINTOK, 11 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) telah menganjurkan Bengkel Modul 2: Penjenamaan Produk di bawah Program Hijau Arambam Cuanxin: Program Keusahawanan Lestari – Memperkasa Kitar Tinggi Berasaskan ESG di Bilik Taklimat CEDI, Kompleks Konvensyen UUM, Ahad lalu.

Bengkel ini diterajui oleh Ketua Modul, Prof. Dr. Salniza Md. Salleh bersama barisan ahli modul iaitu Prof. Dr. Hasnizam Shaari, Dr. Tunku Artikhah Tunku Abaidah dan Dr. Nur Nadia Adjrina Kamarruddin.

Dr. Salniza  berkata, pelaksanaan modul memberi penekanan kepada kepentingan penjenamaan produk sebagai elemen strategik dalam pembangunan serta pengkomersialan produk keusahawanan lestari.

Antara fokus utama yang diketengahkan termasuk pemilihan bahan mesra alam, pembentukan identiti produk yang kukuh serta penyelarasan strategi penjenamaan selaras dengan keperluan dan trend pemasaran semasa.

Pendekatan yang sistematik, praktikal dan mampan telah diterapkan bagi memastikan peserta mampu membangunkan jenama yang berdaya saing dan bernilai tambah tinggi.

Sepanjang bengkel, peserta turut didedahkan kepada konsep asas penjenamaan merangkumi pembinaan imej, konsistensi visual, penetapan nilai jenama serta strategi pemposisian produk dalam pasaran. Pendedahan ini bertujuan memperkukuh keupayaan peserta dalam membentuk identiti penjenamaan yang jelas, profesional dan berdaya tahan.

Sementara itu, Pengarah CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar berkata, bengkel ini merupakan inisiatif strategik CEDI dalam memperkasakan peserta dengan kemahiran penjenamaan yang selari dengan keperluan industri dan agenda kelestarian negara.

Menurutnya, penjenamaan bukan sekadar aspek visual, malah melibatkan pembinaan nilai, kredibiliti dan kepercayaan pengguna terhadap produk yang ditawarkan.

“Penjenamaan yang kukuh bukan sahaja memberi identiti kepada produk, malah menjadi pemacu kepada kebolehpasaran dan kelangsungan perniagaan. Justeru, CEDI komited untuk memastikan peserta dibimbing secara holistik agar mampu bersaing secara mampan dalam pasaran yang semakin kompetitif,” katanya.

Ketua Program, Prof. Madya Dr. Nurakmal Ahmad Mustaffa berkata, pelaksanaan Modul 2 ini melengkapkan peserta dengan pengetahuan praktikal dan strategik dalam membangunkan identiti produk yang jelas serta selaras dengan kehendak industri.

Menurutnya, integrasi elemen ESG dalam strategi penjenamaan memberi kelebihan kompetitif kepada usahawan, khususnya dalam memenuhi tuntutan pengguna yang semakin peka terhadap aspek kelestarian dan tanggungjawab sosial.

Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam menyokong agenda keusahawanan lestari serta melahirkan usahawan yang inovatif, berdaya saing dan responsif terhadap keperluan industri semasa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button