Lapan Ketua Lab dilantik laksana 12 tujahan UUM 2026
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 16 Februari 2026: Dalam usaha memperkukuhkan daya saing institusi di tengah persaingan universiti yang semakin sengit, beberapa inisiatif strategik telah diumumkan bagi melaksanakan pencapaian 12 tujahan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Inisiatif itu termasuk penubuhan lapan makmal khas (lab) bagi meneliti cabaran semasa serta merangka strategi mencapai matlamat yang ditetapkan yang akan diterajui Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Penolong Naib Canselor serta Pendaftar dan Dekan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, setiap kumpulan atau ketua lab diberikan tempoh enam minggu untuk mengemukakan cadangan penyelesaian yang lebih berfokus dan berimpak tinggi.
“Saya juga ingin mengingatkan warga UUM agar tidak leka dengan pencapaian semasa, sebaliknya terus mempergiatkan usaha bagi memastikan kedudukan universiti ini kekal kompetitif,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Pengasasan UUM Ke-42 di Dewan Seminar Pusat Islam, pagi tadi.
Dr. Ahmad Martadha turut menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Pemandu @ Ketua Lab di bawah inisiatif pencapaian 12 tujahan UUM mengikut fokus, iaitu:
i. Peningkatan Pelajar PG dan Pelajar Antarabangsa diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani;
ii. Peningkatan Penerbitan Artikel SCOPUS/WoS dan Penyelidikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad;
iii. Penjanaan Kewangan dan Endowment oleh Penolong Naib Canselor (PNC) COB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri;
iv. Reformasi Karenah Birokrasi oleh PNC COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab;
v. Kebajikan Staf oleh Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah;
vi. Pelaksanaan RPTM 2026-2035 oleh Pengarah Bahagian Perancangan & Prestasi Korporat (BPPK), Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf;
vii. Peningkatan Gaji Premium oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mazli Mutazam dan
viii. Pendigitalan Kampus oleh PNC CAS, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali
Sempena Sambutan Hari Pengasasan UUM Ke-42 juga, Naib Canselor menuntut kepentingan adab dalam proses menuntut ilmu bagi memastikan kecemerlangan akademik disertai nilai sahsiah yang tinggi.

Beliau menekankan bahawa ilmu tanpa adab boleh mendorong sifat sombong dan penyalahgunaan kepakaran, sekali gus berpotensi membawa kepada pelbagai kerosakan sosial termasuk salah laku serta rasuah dalam kalangan pemimpin dan golongan berilmu.
Menurutnya, sejarah Islam sendiri menunjukkan adab perlu didahulukan sebelum ilmu, dengan contoh seorang pelajar Imam Malik yang mengambil masa lebih lama mempelajari adab berbanding ilmu akademik.
Katanya, pendekatan itu dianggap penting untuk melahirkan individu bukan sahaja bijaksana, malah memiliki nilai hormat, kesopanan serta tanggungjawab sosial.
Dalam konteks kampus, beliau turut menyeru pengukuhan silaturahim antara warga UUM tanpa mengira jawatan atau latar belakang, khususnya menjelang Ramadan.

Dr. Ahmad Martadha berkata, sikap saling mengambil berat, termasuk menziarahi rakan yang sakit serta membantu mereka yang memerlukan, disifatkan sebagai asas kekuatan komuniti akademik.
“Selain itu, kepimpinan baharu yang terdiri daripada gabungan tenaga muda dan berpengalaman diharapkan mampu memperkukuhkan kerjasama serta mencapai hala tuju organisasi. Golongan senior digesa berkongsi ilmu, manakala yang muda disaran tidak segan mendapatkan bimbingan demi kelancaran tugas.
“Saya berharap agar semua pihak termasuk staf akademik, pentadbiran dan sokongan terus berganding bahu dalam memperkukuhkan institusi, berteraskan slogan “menjunjung ilmu, mengakar adab” sebagai panduan bersama,” katanya.



