Program Pengabdian Pada Masyarakat (PPM) UUM x UNPAD perkasa pembangunan Komuniti Desa Citengah
Berita dan gambar oleh: Murnisha Murugaiah
INDONESIA, 16 Februari 2026: Program Pengabdian Pada Masyarakat (PPM) Internasional antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universitas Padjadjaran (UNPAD) berlangsung dengan jayanya di Desa Citengah, Kecamatan Sumedang Selatan, Kabupaten Sumedang, Jawa Barat.
Program ini melibatkan seramai 10 orang pelajar dan lima orang pensyarah daripada Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), UUM dan Fakultas Ilmu Budaya (FIB), UNPAD dan diterajui oleh Dr. Taufik Ampera dari UNPAD dengan kerjasama Prof. Madya Dr. Hishamudin Isam selaku penyelaras dari UUM.

Program mobiliti ini berlangsung secara maya dan disusuli kegiatan secara fizikal dari 8 hingga 12 Februari 2026.
Program ini melibatkan penyertaan aktif mahasiswa dan pensyarah daripada kedua-dua institusi pengajian tinggi, selaras dengan aspirasi pendidikan global yang menekankan konsep pembelajaran berasaskan khidmat komuniti.
Melalui pendekatan ini, para peserta mempraktikkan ilmu yang dipelajari dan menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat desa.
Antara fokus utama PPM ini ialah pemerkasaan produk tempatan, khususnya batik Desa Citengah, melalui aktiviti bengkel penghasilan batik, latihan penjenamaan dan pemasaran digital.
Inisiatif ini bertujuan membantu penduduk setempat meningkatkan nilai tambah produk mereka agar lebih berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Dr. Taufik Ampera menegaskan bahawa kerjasama antara UUM dan UNPAD ini mampu memberi impak jangka panjang kepada pembangunan komuniti setempat.
Menurut beliau, penggabungan ciri khusus masyarakat Desa Citengah, seperti daun hanjuang boleh diserikan dengan elemen bunga raya selaku bunga kebangsaan Malaysia bagi membentuk motif batik baharu.
Jelasnya, batik bukan sahaja produk ekonomi, tetapi satu medium perwakilan identiti masyarakat.
Menurut Prof. Madya Dr. Hishamudin Isam, antara usaha yang boleh dimanfaatkan ialah penterjemahan motif batik tempatan dalam bentuk digital bagi memudahkan proses penghasilan batik yang lebih sistematik dan berdaya saing di pasaran.
“Keupayaan berbahasa dan kemahiran teknologi maklumat pelajar SLCP, khususnya boleh dihasilkan dalam bentuk dan platform digital yang mampu disebar luaskan dalam pelbagai bahasa”, ujarnya.

Penduduk Desa Citengah menyambut baik kehadiran para peserta program dan menyatakan penghargaan atas usaha murni yang dilaksanakan, dan berharap agar kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Selain perkongsian ilmu perusahaan batik, peserta turut diperkenalkan dengan persembahan muzik Songah dan pengenalan aksara masyarakat Sunda yang turut dimuatkan dalam dokumentasi dan bahan promosi produk tempatan.
Menurut wakil pelajar FIB, UNPAD, Dervan Sohibulkahfi Rosadi, penglibatan mereka dalam program ini memberi pengalaman cukup bermakna.
“Program ini membuka peluang untuk belajar bersama masyarakat dan berkongsi idea serta budaya dengan rakan-rakan UUM.” katanya.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan program PPM UUM x UNPAD di Desa Citengah membuktikan bahawa kerjasama pendidikan merentas negara mampu menjadi pemangkin transformasi sosial, sekali gus menyumbang kepada pembangunan lestari masyarakat desa.



