Gema Ramadan: Warga UUM mulakan tadarus Al-Quran Muslimin 1447H dengan penuh penghayatan
Berita dan gambar Muhammad Syazwan Menon
SINTOK, 22 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menyemarakkan bulan Ramadan dengan penganjuran Program Tadarus Al-Quran Muslimin 1447H yang telah memulakan sesi pertama pada hari ini secara dalam talian menerusi platform Webex Cisco.

Program anjuran Pusat Islam ini dijadualkan berlangsung sepanjang bulan Ramadan pada hari bekerja, bermula jam 8.30 pagi hingga 9.00 pagi.
Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md Sabri berkata, pelaksanaan secara dalam talian memberi ruang penyertaan yang lebih fleksibel kepada warga kampus untuk bersama-sama mengimarahkan Ramadan walaupun dalam kesibukan tugasan harian.
“Penganjuran Tadarus Al-Quran Muslimin 1447H ini bukan sahaja menjadi wadah memperkukuhkan hubungan silaturahim antara staf, malah berperanan sebagai medium tarbiah rohani yang konsisten sepanjang Ramadan.
“Diharapkan program ini dapat melahirkan warga UUM yang bukan sekadar membaca al-Quran, bahkan menghayati dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian serta dalam konteks pengurusan dan pentadbiran universiti,” katanya.
Majlis pada hari pertama telah diketuai oleh Pegawai Tadbir Kanan, Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM), Mohammad Taufiq Othman selaku Khalifah Tadarus. Bacaan tadarus dipimpin dengan penuh tertib dan penghayatan, sekali gus menyuntik semangat kebersamaan dalam kalangan staf lelaki UUM.

Sesi berkenaan dikendalikan oleh Pegawai Tadbir Pusat Islam, Muhammad Syazwan Menon yang turut memberikan mukadimah ringkas berkenaan kelebihan tadarus Al-Quran pada bulan Ramadan serta kepentingan istiqamah dalam mendekatkan diri kepada al-Quran sebagai manual kehidupan seorang Muslim.
Program ini turut mendapat kerjasama padu daripada Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA) dan Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Universiti Utara Malaysia (PERPATI) yang bersama-sama menyokong usaha memperkasakan budaya ilmu dan penghayatan Islam dalam kalangan warga universiti.
Sinergi ini mencerminkan semangat kebersamaan warga universiti dalam mengimarahkan bulan suci Ramadan menerusi aktiviti pengukuhan rohani di samping kesibukan tugas hakiki.
Pusat Islam UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan turut menjemput seluruh warga staf muslimin UUM untuk terus menyertai pautan group WhatsApp serta Webex yang telah disediakan pada setiap hari bekerja sepanjang bulan Ramadan ini bagi bersama-sama mengejar keberkatan “Syahrul Quran”.



