CEDI mulakan Program BSN iTEKAD MulaNiaga libatkan usahawan komuniti
Gambar CEDI
SINTOK, 16 Mac 2026: Program BSN iTEKAD MulaNiaga Universiti Utara Malaysia (UUM) kendalian Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) telah memulakan pelaksanaannya Khamis lalu melalui sesi taklimat dan profiling secara bersemuka bersama usahawan komuniti yang berlangsung di EDC-UUM.
Sesi berkenaan melibatkan seramai 15 usahawan komuniti yang terpilih sebagai peserta awal program bertujuan memberi pendedahan awal mengenai pelaksanaan program serta mendapatkan maklumat latar belakang perniagaan peserta bagi tujuan pemantauan dan pembangunan usahawan secara lebih sistematik.

Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar, yang menekankan kepentingan program ini dalam memperkasakan pembangunan usahawan komuniti melalui sokongan latihan, bimbingan dan bantuan kewangan yang lebih tersusun.
Menurutnya, program iTEKAD MulaNiaga bukan sahaja menyediakan bantuan modal kepada peserta, malah memberi peluang kepada usahawan untuk meningkatkan kemahiran pengurusan perniagaan melalui latihan dan bimbingan yang berterusan.
“Program ini merupakan satu inisiatif penting dalam membantu usahawan pelajar dan komuniti untuk mengembangkan perniagaan mereka secara lebih mampan.

“Melalui kerjasama bersama Bank Simpanan Nasional (BSN), peserta bukan sahaja menerima geran perniagaan, malah turut dibimbing melalui latihan keusahawanan dan pemantauan yang berstruktur bagi memastikan perniagaan mereka dapat berkembang dengan lebih baik,” katanya.
Sesi seterusnya diteruskan dengan taklimat program oleh Timbalan Pengarah CEDI (Bahagian Latihan dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar), Dr. Saiful Azizi Ismail yang menerangkan secara terperinci mengenai objektif program, kriteria penyertaan serta struktur pelaksanaan program sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Selepas sesi taklimat, program diteruskan dengan sesi profiling peserta yang bertujuan mendapatkan maklumat latar belakang perniagaan serta mengenal pasti keperluan pembangunan usahawan secara lebih terperinci. Bagi menjayakan sesi tersebut, CEDI turut melantik tenaga pakar iaitu Dr. Adi Syahid Mohd Ali dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) dan Dr. Tuan Muhammad Zukri Tuan Sembok dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) bagi membantu menjalankan proses profiling peserta.

Melalui program ini, peserta berpeluang menerima geran perniagaan sehingga RM5,000, selain mengikuti latihan keusahawanan secara percuma, pemantauan perkembangan perniagaan oleh pihak BSN serta peluang mendapatkan pembiayaan mikro BSN dengan kadar faedah sifar peratus bagi menyokong perkembangan perniagaan mereka.
Program ini merupakan inisiatif kewangan sosial yang memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan daripada kalangan pelajar universiti dan komuniti setempat, dengan pendekatan latihan berstruktur yang merangkumi pembangunan kemahiran keusahawanan, pengurusan perniagaan serta kreativiti dalam membangunkan model perniagaan yang berdaya saing.
Peserta komuniti, Nur Shahirin Nor Azman yang mengusahakan perniagaan gunting rambut berkata, program ini memberi peluang yang amat bermakna kepada usahawan kecil untuk meningkatkan potensi perniagaan mereka.

“Program seperti ini sangat membantu usahawan komuniti seperti kami kerana bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, tetapi juga memberi ilmu dan bimbingan untuk menguruskan perniagaan dengan lebih baik.
“Saya berharap peluang ini dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan yang sedang diusahakan,” katanya.
Sesi taklimat dan profiling yang diadakan hari ini merupakan sebahagian daripada fasa awal pelaksanaan program. Sesi taklimat bagi peserta usahawan pelajar UUM pula dijadualkan akan diadakan secara atas talian pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Pelaksanaan program BSN iTEKAD MulaNiaga ini dijangka memberi impak positif dalam membangunkan ekosistem keusahawanan yang lebih mampan, khususnya dalam kalangan pelajar universiti dan komuniti setempat, selaras dengan usaha memperkasa pembangunan ekonomi masyarakat melalui pendekatan keusahawanan. – Akmal Ahlami Md Rozai



