General

UUM terus cemerlang, lonjak ke tangga 125 terbaik Asia dalam THE Asia University Rankings 2026

CI Norazlina Ahmad

SINTOK, 23 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meningkatkan kedudukannya ke tangga 125 terbaik di Asia dalam penarafan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2026, berbanding kedudukan 127 pada edisi sebelumnya.

Peningkatan ini mencerminkan momentum berterusan UUM dalam memperkukuh kecemerlangan akademik dan daya saing di peringkat serantau.

Kejayaan ini turut memperlihatkan keupayaan UUM dalam mengekalkan prestasi yang konsisten dalam landskap pendidikan tinggi Asia yang semakin kompetitif, melibatkan penyertaan lebih 1,000 universiti terkemuka dari seluruh rantau ini.

Peningkatan kedudukan tersebut adalah hasil daripada usaha strategik universiti dalam memperkasa kualiti pengajaran, penyelidikan dan jaringan antarabangsa.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pencapaian ini merupakan manifestasi komitmen berterusan seluruh warga UUM dalam merealisasikan aspirasi universiti sebagai universiti pengurusan terkemuka.

“Ia juga mencerminkan keberkesanan pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, penghasilan penyelidikan berimpak tinggi serta pengukuhan kolaborasi industri,” katanya.

Penarafan THE Asia University Rankings 2026 menilai institusi berdasarkan 18 indikator yang merangkumi lima kategori utama, iaitu pengajaran (teaching), persekitaran penyelidikan (research environment), kualiti penyelidikan (research quality), industri (industry), serta perspektif antarabangsa (international outlook).

Penilaian komprehensif ini memberikan gambaran menyeluruh terhadap prestasi universiti dalam pelbagai dimensi utama.

Dengan peningkatan kedudukan ini, UUM dilihat berada pada landasan yang tepat untuk terus memperluas jaringan kerjasama global, menarik lebih ramai pelajar dan akademia antarabangsa, serta memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Kejayaan ini juga menjadi pemangkin kepada usaha berterusan universiti dalam meningkatkan keterlihatan dan reputasi global. – Nur Liyana Noor Ismadee

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button