Campus

KPC Penang jayakan Program Young Leaders Transformation CAMP 2026, perkasa kepimpinan pelajar SK Bertam Indah

Gambar oleh: KPC Penang

SINTOK, 11 Jun 2026 – Seramai 80 orang pemimpin muda daripada Sekolah Kebangsaan Bertam Indah (SKBI), Pulau Pinang telah menyertai Program Young Leaders Transformation Camp 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 10 hingga 11 Jun 2026 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Program yang melibatkan Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pengawas ICT serta Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) ini bertujuan memperkukuh aspek kepimpinan, komunikasi, pembentukan sahsiah dan kerja berpasukan dalam kalangan peserta. Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti dan modul latihan kepimpinan yang dijalankan di Dewan Mawar dan Inapan Siswa Muamalat, UUM.

Kelab Patriot Chapter Pulau Pinang (KPC Penang) telah diberikan kepercayaan oleh pihak SKBI untuk bertindak sebagai operator program serta mengendalikan modul latihan kepimpinan menerusi penglibatan fasilitator-fasilitator daripada KPC Penang. Program ini turut mendapat sokongan padu daripada seramai 30 orang pelajar Universiti Utara Malaysia yang berperanan sebagai urus setia dan pelaksana bagi memastikan kelancaran keseluruhan program.

Guru Besar SK Bertam Indah, Encik Zainal bin Ahmad, merakamkan penghargaan kepada Universiti Utara Malaysia dan Kelab Patriot Chapter Pulau Pinang atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.

“Program seperti ini memberi pendedahan yang amat bermakna kepada murid-murid kami. Selain memperoleh pengalaman berada dalam suasana kampus universiti, mereka juga berpeluang membina keyakinan diri, mengasah bakat kepimpinan dan memupuk semangat kerjasama. Saya mengucapkan terima kasih kepada UUM dan Kelab Patriot Chapter Pulau Pinang atas komitmen yang diberikan dalam memastikan program ini berjalan dengan jayanya,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Program, Saudari Nur Dania Shafiqah, menyifatkan kejayaan penganjuran program tersebut sebagai hasil kerjasama erat dan komitmen tinggi daripada semua pihak yang terlibat.

“Alhamdulillah, segala perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar hasil sokongan daripada pihak sekolah, fasilitator KPC Penang serta barisan urus setia pelajar UUM. Penglibatan aktif peserta sepanjang program menjadi bukti bahawa modul yang dilaksanakan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Kelab Patriot Chapter Pulau Pinang, Encik Akmal Ahlami, turut merakamkan penghargaan kepada pihak SKBI atas kepercayaan yang diberikan kepada kelab berkenaan untuk mengendalikan program tersebut.

“Kepercayaan yang diberikan oleh pihak SK Bertam Indah merupakan satu penghormatan besar buat Kelab Patriot Chapter Pulau Pinang.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh barisan fasilitator, Majlis Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa kelab serta para pelajar UUM yang telah memberikan komitmen terbaik sepanjang program berlangsung.

Semoga kerjasama strategik ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berwibawa, di samping terus mengangkat nama Universiti Utara Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.

Program Young Leaders Transformation Camp 2026 bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah kepada para peserta, malah menjadi medium penting dalam membentuk generasi pemimpin muda yang berdisiplin, berintegriti dan mempunyai jati diri yang tinggi selaras dengan aspirasi pendidikan negara. – Akmal Ahlami Md Rozai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button