Agama

Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2025

PUTRAJAYA, 3 Mac 2025: Pusat Zakat dan Wakaf UUM menghadiri Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 bagi mewakil Universiti Utara Malaysia (UUM).

Majlis anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan RM35 juta untuk memperkukuh ekosistem wakaf negara.

RM30 juta diperuntukkan bagi menyokong program myWaqafPTPTN, iaitu inisiatif biasiswa berasaskan wakaf yang diuruskan oleh YWM dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Bantuan ini akan memberi manfaat kepada mahasiswa dalam kategori asnaf, M40, dan B40.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi menubuhkan Permodalan Wakaf Nasional Bhd (PWNB), yang bertujuan menguruskan dana wakaf berskala besar. Entiti ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan kewangan sosial Islam termasuk wakaf, baitulmal, dan zakat.

Majlis ini turut menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara pelbagai pihak dalam usaha memperkasa sistem wakaf negara selaras dengan konsep Wakaf Membangun Malaysia MADANI.- Nurul Fathiah Ab Hamid

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button