Agama

Memahami Mazhab Tauhid, Imam As’yari dan Maturidi beri pencerahan

Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir 

SINTOK: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) melalui Jawatankuasa Pematuhan dan Penasihat Syariah IBS telah mengambil inisiatif menganjurkan program Memahami Mazhab Tauhid: Imam As’yari dan Maturidi terbuka kepada semua warga UUM, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Pusat Islam UUM, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Kelab Pelajar IFBA IBS telah berjaya dilaksanakan di Dewan Seminar Pusat Islam.

Penceramah yang dijemput bagi menjayakan program ini adalah Sheikh Azizul Wahyu Abd Ghani, Mursyid Zawiyah Naqsyabandiyah Khalidiyah Puncak Alam, Selangor dan Mandum Negeri Sembilan. Beliau telah menerima tauliah dari Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK). 

Program ini bermatlamat bagi mengupas dan memberi penjelasan yang jitu tentang kefahaman Tauhid yang benar dan selaras dengan maksud Tauhid yang diingini oleh Nabi Muhammad S.A.W dan Allah S.W.T.

Selain itu, program ini dilaksanakan bagi menyambut baik hasrat majoriti mufti di Malaysia yang menyokong RUU yang berkaitan Mazhab Tauhid: Imam Asyaári dan Maturidi. 

Antara kupasan, kepentingan Memahami Mazhab Tauhid: Imam Asya’ari dan Maturidi dan berpegang teguh padanya kerana dalam masalah tauhid, ia berkait rapat dengan jalan balik insan kepada penciptanya sama ada husnul khatimah atau su’ul khatimah, kepentingan bertasawuf yang benar mengikut syarak agar ibadat benar-benar khusyuk dan tidak mengharap selain Allah serta keperluan memahami musuh bani Adam iaitu iblis.

Umat Islam juga diingatkan supaya tidak mempertikai ilmu alim ulama yang telah diijazahkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Penceramah juga menekankan bahawa akidah adalah unsur terpenting umat Islam. Gelongsornya hati ke arah kesesatan dan berpegang kepada fahaman salah boleh membawa kepada murtad dan keluar dari Islam. Hal itu boleh membawa bala yang besar kepada ummah. 

Program ini turut disambut baik oleh Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie.

Menurutnya, akidah ummah amat penting dan ia perlu diberi penjelasan sehingga ke akar umbi supaya umat Islam tidak terjerumus ke arah amalan kesesatan yang menunggang agama Islam.  

Peserta yang terdiri dari pelajar dan staf UUM juga berharap agar program ini dapat dilaksanakan secara berterusan. – Dr. Amirul Haqeem Abd Ghani 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button