Asia

Kembangkan bisnes Kek Lapis Legit, tembusi negara Asia

17 November 2024 : Gadis dari Jakarta, Indonesia Karenina Fatimah Az Zahrah, menceburkan diri dalam bisnes Kek Lapis Legit demi menyambung legasi keluarga serta menyumbang kepada masyarakat.

Jika tidak sibuk dengan belajar atau tugasan, Karenina sibuk di dapur membantu ibu tersayang membuat Kek Lapis Legit yang sedap dan berkualiti sehingga mendapat permintaan ramai dan tidak menang tangan menguruskan tempahan pelanggan.

“Mak saya berniaga membuat Kek Lapis Legit sejak 2012 jadi saya membantu perniagaan mak.  Senyuman para pelanggan yang berpuas hati dengan hasil kerja yang diberikan cukup bermakna buat kami.

“Mak selalu pesan supaya menjaga warisan perniagaan Kek Lapis Legit ini dengan baik kerana ia bukan sekadar perniagaan, tetapi juga lambang tradisi keluarga.

“Resepi ini telah diturunkan daripada almarhumah nenek, dan mak ingin memastikan ia terus kekal untuk generasi seterusnya,” ujarnya.

Beliau menekankan pentingnya menjaga kualiti dan keaslian rasa Kek Lapis Legit ini menggunakan bahan-bahan terbaik dan premium selain membuat mengikut tempahan bagi memastikan kesegarannya.

Pesan mak, berniaga bukan sekadar mencari rezeki, tetapi juga membawa keberkatan dan memelihara warisan keluarga.

Berkat dedikasi dan komitmen padu keluarga, perniagaan kek ini sudah menembusi ke seluruh Indonesia, selain Singapura dan Malaysia.

“Jadi untuk projek terdekat saya sedang merancang untuk mengeksport komoditi ‘Indonesia spices’ dan saya sadar banyak kekayaan Indonesia yang boleh dimanfaatkan dan sayang jika kita melewatkan kesempatan tersebut,” ujarnya.

Selain bakat yang dimilikinya Karenina juga sedar pendidikan adalah asas penting untuk membina kemahiran dan pengetahuan, terutama dalam bidang perniagaan.

Lalu mengambil keputusan belajar bersungguh-sungguh dan menghabiskan pengajiannya dalam bidang Keusahawanan di UUM. Beliau amat meminati bidang ini kerana ingin mengembangkan bakat dalam perniagaan dan membuka peluang usaha, terutama untuk membangun bisnes yang dapat membawa manfaat kepada komuniti.

“Pengajian ini memberi saya lebih banyak peluang untuk belajar secara mendalam dan bersedia untuk cabaran dunia kerja,” ujarnya sempena Majlis Konvokesyen ke-37 Universiti Utara Malaysia, di Dewan Mu’adzam Shah.

Keluarga terlalu istimewa dan menjadi pencetus inpsirasi di sebalik kejayaan, graduan Sarjana Muda Keusahawanan.

“Pendorong utama saya adalah keluarga terutama ibu bapa saya yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan saya dari jauh. Saya amat terharu kerana ayah sanggup berhabis puluhan ribu ringgit membawa satu keluarga semata-mata untuk menyaksikan detik terindah saya menamatkan pengajian,” kongsinya.

Menyelusuri perjuangannya menuntut ilmu, salah satu cabaran terbesar adalah menyesuaikan diri di negara yang berbeza dan berjauhan dari keluarga.

“Saya perlu menyeimbangkan masa antara belajar dan kerja sambilan untuk menyara kehidupan. Namun, cabaran ini mengajar untuk lebih berdikari dan kuat,” katanya.

Selepas tamat pengajian ini, Karenina berhasrat untuk meneruskan minat dalam perniagaan dan membuat peluang baru, baik di Malaysia mahupun di Indonesia, terutamanya dalam bidang yang berpotensi untuk berkembang di pasaran antarabangsa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button