Business

Air mineral UUM Sintok bantu tingkat jana pendapatan universiti

SINTOK: ‘Segar dan semula jadi air mineral Sintok’ yang menjadi tagline air mineral UUM Sintok bakal menjadi kepentingan bagi Universiti Utara Malaysia (UUM) menjana pendapatan.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) telah mengambil inisiatif penuh bermakna untuk menjana dan menjimatkan kewangan universiti.

Menurutnya, usaha ini bukan hanya memberi manfaat kewangan tetapi juga menonjolkan komitmen universiti terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam pengurusan sumber.

Katanya, UUM telah berjaya mencatat penjanaan tertinggi bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dalam kalangan universiti bukan penyelidikan sebanyak 35 peratus.

“Selain daripada hasil yuran pengajian, UUM juga menjana kewangan melalui hasil usaha BSD yang efisien.

“Tahniah kepada BSD kerana dalam tempoh enam bulan pertama ini sahaja sudah mampu mencatat kutipan hutang hampir RM 1.12 juta dan memberi hasil kepada UUM untuk mengembangkan sayap perniagaan di bawah BSD,” katanya ketika melancarkan Air Mineral UUM Sintok di Manager’s Coffee, petang tadi.

Beliau juga yakin perbincangan untuk mengadakan projek jangka masa panjang akan diadakan bagi memastikan kelestarian kewangan universiti.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga telah menggalakkan setiap universiti menjana kewangan melebihi 20 peratus setiap tahun.

“UUM berjaya mencapai 35 peratus dan ini memberi ruang kepada universiti untuk mengatur rancang projek atau menjana kewangan lebih mantap dan kukuh pada masa hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, Dr. Mohd Foad berharap semua pusat pengajian dan pusat tanggungjawab dapat memberi sokongan berterusan kepada BSD untuk menjana pendapatan universiti.

Sementara itu, Pengarah BSD, Dr. Afiruddin Tapa berkata, inisiatif ini menandakan pencapaian penting dalam usaha berterusan BSD untuk menjana pendapatan bagi universiti dan memperkukuhkan jenama UUM di pasaran tempatan.

Menurutnya, dengan memperkenalkan produk ini, UUM bukan sahaja menawarkan minuman yang berkualiti dan menyegarkan tetapi juga membawa nama UUM yang berprestij ke tangan pengguna di seluruh pelusuk negara.

Katanya, BSD menawarkan air mineral UUM dalam botol 500ml yang praktikal, direka untuk memenuhi keperluan pelajar, staf dan komuniti yang lebih luas, malah BSD juga merancang untuk memperkenalkan versi 350ml untuk memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan.

“Selaras dengan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, kami sedang giat meneroka penyelesaian pembungkusan inovatif yang akan mengurangkan kebergantungan kepada botol plastik.

“Inisiatif ini mencerminkan dedikasi kami untuk menyokong amalan hijau dan menyumbang kepada muka bumi yang lebih sihat,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan pegawai-pegawai kanan universiti.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button