UUM berjaya jual produk cenderamata RM144,360 sempena konvokesyen, SUKIPT
SINTOK, 7 Januari 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menjual cenderamata sebanyak RM144,360 sempena Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024 dan Konvokesyen Ke-37 UUM.
Daripada jumlah itu, UUM berjaya mencapai jualan sebanyak RM105,573.00 di sepanjang temasya SUKIPT 2024 dan RM38,787.00 pada Konvokesyen Ke-37 UUM.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan ini hasil daripada jalinan kerjasama strategik dengan Exacmust Sdn. Bhd.
Ujarnya, UUM sentiasa komited untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan melalui kerjasama antara universiti dan pemain industri.
“Hubungan antara universiti dan industri saling berkait dan memerlukan jalinan yang kukuh dalam membentuk sinergi yang kuat.
“MoA ini menjadi bukti kerjasama strategik antara UUM dan Exacmust (M) Sdn Bhd sebagai pembekal yang dilantik bagi menjalankan operasi penjualan cenderamata dikenali sebagai UUM Merchandise Collection (UMC),” ucapnya pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Antara UUM Dengan Exacmust (M) Sdn. Bhd. & Sesi Penyerahan Mock Cheque berlangsung di Balai Tamu, Bangunan Canselori, UUM, semalam.
Jelasnya, UUM melalui BSD dan Exacmust (M) Sdn. Bhd. telah berganding bahu dalam menyediakan cenderamata berdasarkan permintaan dan pasaran pada harga yang relevan dan kompetitif.
“Produk UMC juga merupakan inisiatif untuk mempromosikan identiti UUM kepada komuniti dalam dan luar UUM.
“Kini, sudah terbukti bahawa pelbagai pilihan cenderamata dalam koleksi UUM Merchandise Collection sememangnya memenuhi citarasa semua golongan sama ada pelajar, kakitangan atau orang awam.
“Saya yakin dengan perancangan yang teliti, pelaksanaan yang konsisten dan strategi yang komprehensif, UUM Merchandise Collection boleh mencapai sasaran jualan pada 2025,” ujarnya.
Beliau berharap usaha UUM Merchandise Collection dapat diteruskan dengan lebih giat lagi pada tahun 2025 sekali gus dapat meningkatkan penjanaan pendapatan kepada Universiti.
Majlis menyaksikan MoA tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor dengan Pengarah Exacmust Sdn. Bhd., Mohamad Khir Abdul Razak disusuli dengan penyerahan cek cura kepada UUM berjumlah RM28,872.