Campus

Dapur SUKA UUM semarak Bulan Kemerdekaan bersama warga kampus

SINTOK : Projek Dapur SUKA UUM merupakan salah satu inisatif dari Program Sijil Pengurusan Kesukarelawan UUM (SUKAUUM) anjuran Jabatan Sumber Manusia (JSM).

Salah satu kumpulan yang mengambil sijil ini telah menganjur program kesukarelawanan sempena Bulan Kemerdekaan di pintu utama UUM, semalam.
 
Program ini adalah kerjasama dengan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) dan Inapan Siswa MAS (INASIS MAS) dalam usaha memperkasakan sukarelawan dengan ilmu dan kemahiran kepimpinan dalam bidang kesukarelawanan.

Inisiatif pertama kali ini telah diadakan dengan memasak menu sihat dan membuat agihan pek makanan percuma hasil gotong-royong memasak oleh sukarelawan serta agihan bendera Malaysia kepada warga kampus.
 
Penyelia projek, Sharima Ruwaida Abbas berkata, projek ini bertujuan meningkatkan ilmu kesukarelawanan secara beretika dan menyemarakkan semangat kesukarelawanan serta mewujudkan kesedaran kepada komuniti UUM tentang pemakanan yang seimbang.

Di samping itu, menurutnya, ia membantu mengurangkan bebanan kewangan pelajar dan staf dengan memberi bantuan makanan percuma untuk komuniti UUM.

Sebanyak 150 pek makanan diedarkan di laluan keluar UUM dengan acara simbolik memasang bendera Malaysia pada kenderaan yang melalui pintu depan ini sempena Hari Kebangsaan.

Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah telah mengedarkan bungkusan makanan dan memasang bendara Malaysia di kenderaan staf yang hendak pulang.

Kumpulan ini dalam proses merangka aktiviti secara berkala dan mengalu-alukan penyertaan sukarelawan daripada warga kampus.

Ahli kumpulan yang turut serta dalam pelaksanaan projek adalah Muhammad Danial Khaleq Mohd Ali dari JHEP; Abdul Muiz Basyir Mohamad dari Bahagian Pemasaran; Nur Safinaz Mukhtar dan Nur Hafizah Zainol dari PKKU serta Faridah Awang dari JHEA.
 
Empat staf yang sudi menjadi sukarelawan turut sama terlibat iaitu Siti Nadia Mohd Nasir, Aida Rasyidah Ahmad Muaen, Hasliza Hassan dan Norizan Jaafar.

Turut hadir, Pengarah Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan, Dr. Adi Azhar Abdul Razak dan Pegawai Tadbir, JSM, Kartini Tajul Urus. – Muhammad Danial Khaleq Mohd Ali

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button