Campus

UFO serlah bakat, potensi OKU

Sintok: UUM Festival OKU (UFO) adalah cerminan komitmen universiti dalam menyokong agenda inklusiviti dan kepelbagaian dalam pendidikan.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Universiti Utara Malaysia (UUM) sebuah universiti yang komited memperkasakan OKU, dengan terus menyediakan kemudahan dan program mesra OKU.

“Saya percaya pendidikan adalah hak setiap individu, dan pihak UUM akan terus berusaha untuk memastikan kampus ini menjadi ruang yang inklusif serta menyokong pembelajaran untuk semua.

“Kita telah membina platform yang kukuh untuk memperjuangkan hak dan peluang bagi OKU,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan UUM Festival OKU (UFO), di ILC Permai, UUM, semalam.

Jelasnya, program ini bertujuan untuk meraikan bakat dan potensi komuniti OKU, sambil meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mewujudkan persekitaran yang mesra OKU, baik di kampus mahupun di luar.

“Sepanjang festival ini, kita telah menyaksikan pelbagai acara yang memberi inspirasi, seperti Kursus Pemantapan Kewangan Audit Kewangan ILC Malaysia, Kem Agoonoree Peringkat Negeri Kedah, serta pameran dari agensi kerajaan

Antaranya, JKM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Special Olympic Kedah, pameran produk OKU PPDK, dan gerai jualan peniaga OKU.

Tambahnya, aktiviti ini mencerminkan keunikan dan kehebatan komuniti OKU, serta membuktikan bahawa dengan sokongan dan peluang yang tepat, mereka mampu mencapai kejayaan yang cemerlang.

“Saya mewakili seluruh warga UUM ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada semua yang telah menjayakan festival ini, khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), para penaja, serta semua peserta dan sukarelawan,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah, Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU); Zuhami Omar, berkata, menerusi festival ini, pelbagai program yang memfokuskan golongan sasaran OKU antaranya Kursus Pemantapan Pengurusan Audit Kewangan ILC Malaysia yang melibatkan 6 ILC di seluruh Malaysia.

“Festival ini bukan sahaja menjadi platform bagi mengiktiraf bakat dan keupayaan rakan-rakan OKU, malah sebagai satu usaha yang signifikan dalam memupuk kesedaran dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kepentingan inklusiviti dalam masyarakat.

“Sebagai wakil Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya, saya ingin menyatakan komitmen berterusan kami dalam menyokong program-program yang mempromosikan hak dan kesejahteraan individu OKU,” ujarnya.

Pengurus ILC Permai UUM, Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar berkata, program yang julung kali dianjurkan ini melibatkan semua komuniti OKU merentasi kementerian yang berbeza serta mengumpulkan 6 ILC dari seluruh Malaysia berkursus di ILC PERMAI UUM.

Sarat dengan aktiviti yang penuh makna, seramai 240 Pelajar OKU Pendidikan Khas seluruh Negeri Kedah menghadiri Kem Agoonoree Peringkat Negeri Kedah.

Program seumpama ini dapat menarik minat komuniti OKU untuk bergaul bersama masyarakat dan merasai diri dirai di samping memporomosi UUM dengan menarik minat OKU untuk belajar sehingga menara gading.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button