255 pelajar baharu Asasi Pengurusan daftar jadi keluarga besar UUM
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 6 Julai 2025: Seramai 255 pelajar baharu Program Asasi Pengurusan bagi sesi 2025/2026 telah mendaftar di Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini, bagi kohort ke-12 program berprestij tersebut.
Ambilan pelajar bagi program ini adalah terhad kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan ebanyak 9,182 permohonan diterima melalui UPUOnline, manakala 1,632 pelajar memilih UUM sebagai pilihan pertama.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kohort ke-12 ini memperkenalkan pembaharuan dalam struktur pengajian apabila tempoh pengajian dikurangkan daripada tiga semester kepada dua semester.
“Pembaharuan ini bertujuan memberi lebih tumpuan kepada aspek pendidikan holistik, pembangunan sahsiah serta penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum,” katanya dalam sesi Naib Canselor bersama Waris Pelajar Baharu Program Asasi Pengurusan yang di Auditorium SOIS, UUM.
Menurut beliau, UUM komited untuk memastikan setiap graduan dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi menghadapi pasaran kerja yang mencabar.
“Program kebolehpasaran graduan UUM termasuklah karnival kerjaya, latihan industri, bengkel kerjaya, serta kerjasama dengan syarikat-syarikat terkemuka. Inisiatif ini telah membantu meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan (GM) UUM kepada 96.6 peratus bagi tahun 2024,” ujarnya.
Dr. Mohd Foad berkata, kampus UUM turut menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran dan pengajaran yang lengkap, termasuk perpustakaan dengan koleksi buku serta sumber digital komprehensif, dan prasarana moden yang menyokong pembelajaran kondusif.
“UUM amat menitikberatkan kebajikan pelajar. Antara kemudahan yang disediakan ialah penginapan pelajar yang selesa, program mentor-mentee, sesi kaunseling akademik, perkhidmatan kesihatan mental, serta pelbagai aktiviti kokurikulum bagi pembangunan holistik pelajar,” katanya.
Beliau berkata, kurikulum Program Asasi disusun selaras dengan keperluan program ijazah sarjana muda di UUM, bagi melancarkan peralihan akademik para pelajar ke peringkat seterusnya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Asasi, Prof. Dr. Mohd Fuad Othman berkata, sebanyak 48 program ijazah sarjana muda ditawarkan di UUM merangkumi pelbagai bidang termasuk perakaunan dan undang-undang, tertakluk kepada syarat kemasukan yang ditetapkan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad.