Pelajar baharu selami suasana kehidupan di universiti
SINTOK, 13 Mac 2025: “Perjalanan akademik bukan sekadar tentang memperoleh segulung ijazah, tetapi juga tentang pengalaman, pembelajaran sepanjang hayat dan pembentukan sahsiah diri.
“Gunakan peluang yang ada dengan sebaiknya berbekalkan tekad, usaha, kesungguhan, serta semangat ingin berjaya, anda semua akan menjadi sebahagian daripada kejayaan UUM dalam mencorakkan masa depan yang lebih gemilang.”
Pesan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan sempena Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu bagi sesi 2025, Auditorium SAC, semalam.
UUM mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu dan mengucapkan tahniah dan syabas kerana telah berjaya melangkah ke alam pengajian tinggi.
“Kami sambut dengan penuh kegembiraan dan anda harus berasa bangga menjadi sebahagian dari UUM sebuah Universiti berprestij.
“Gunakan tempoh masa untuk memastikan kita mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dalam masa yang sama dapat mengasah bakat dan potensi diri untuk menjadi insan yang lengkap dari segi sahsiah, kerohanian, integriti dan kesihatan,” katanya.
Jelasnya, Minggu Suai Kenal ini sebagai langkah pertama pelajar diasuh, diberi panduan dan bimbingan bagi mengenali UUM.
MSK diadakan bertujuan untuk memperkenalkan para pelajar baharu kepada suasana kehidupan di universiti, memberikan pendedahan kepada sistem akademik, serta membina hubungan yang erat antara pelajar, pensyarah, dan warga universiti.
“Jadi gunakan masa yang ada mengambil peluang untuk membentuk sikap positif, jati diri yang kuat, dan semangat kerjasama dan semangat kesepunyaan dalam kalangan pelajar UUMserta dapat sesuaikan diri dengan selesa.
“UUM sentiasa menyokong pembelajaran holistik yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik tetapi juga penglibatan dalam aktiviti kokurikulum, kepimpinan, dan keusahawanan.
“Manfaatkan setiap peluang yang ada untuk meningkatkan pengalaman dan kemahiran diri dan bina jaringan hubungan yang bermanfaat.
“Corakkan masa depan anda supaya dalam tempoh ini kita menjadi insan holistik dari segi pencapaian akademik, sahsiah dan kokurikulum. Dengan adanya tiga perkara ini saya yakin UUM akan membanggakan anda terutamanya setelah keluar bekerja nanti selain akan meningkatkan Kebolehpasaran Graduan (GE),” ucapnya.
Tambahnya, tahun lepas UUM antara universiti yang mempunyai GE yang tinggi iaitu 96 peratus sekali gus menunjukkan industri berminat untuk mengambil pelajar UUM dalam tempoh yang singkat selepas menamatkan pengajian.
Beliau berharap segala usaha yang dicurahkan sepanjang tempoh pengajian ini akan membawa kejayaan seterusnya menjadi alumni yang membanggakan dan membawa nama UUM ke peringkat yang lebih tinggi.
Majlis turut menyaksikan bacaan ikrar oleh pelajar baharu yang diketuai oleh Muhammad Irham Ismail, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam.