Campus

297 warga UUM sertai bengkel teroka wajah baharu UUM OL

Gambar oleh: Fazrul Ashraf bin Azmi

Sintok, 11 Mac 2026: Seramai 297 pensyarah dan staf Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai bengkel “Elevating Digital Pedagogy: Exploring the New UUM OL” anjuran Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Universiti (UTLC) yang berlangsung secara dalam talian menerusi platform Webex.

Program selama dua jam, bermula dari 9.30 pagi hingga 11.30 pagi, bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada warga universiti mengenai ekosistem UUM OL yang telah ditambah baik selaras dengan keperluan semasa pengajaran dan pembelajaran digital.

Bengkel itu dikendalikan oleh Abd Hadi Bin Abd Razak dari UUM College of Arts and Sciences, yang berkongsi panduan berkaitan ciri baharu platform UUM OL serta peranannya dalam menyokong kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran di universiti.

Sepanjang sesi, para peserta didedahkan kepada evolusi UUM OL daripada sebuah repositori standard kepada persekitaran pembelajaran yang lebih dinamik, interaktif dan berpusatkan pelajar.

Mereka turut diberi penerangan mengenai kepentingan antara muka baharu, penambahbaikan teknikal berbanding versi terdahulu serta kaedah menyelaraskan pelan pengajaran dengan aktiviti digital yang lebih berkesan.

Selain itu, peserta juga dibimbing untuk membina aktiviti interaktif asas seperti kuiz, forum dan elemen H5P dalam modul kursus masing-masing. Pendekatan ini membantu peserta memahami bagaimana aktiviti segerak dan tidak segerak dapat diintegrasikan dengan lebih tersusun bagi meningkatkan penglibatan pelajar dalam pembelajaran digital.

Antara objektif utama bengkel ini ialah membantu peserta mengenal pasti ciri teras UUM OL yang baharu, mereka bentuk pelan pengajaran digital yang efektif serta membangunkan aktiviti pembelajaran interaktif yang menyokong pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna.

Sambutan menggalakkan daripada warga UUM mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh amalan pedagogi digital dan meningkatkan keupayaan staf dalam menyesuaikan diri dengan transformasi pendidikan tinggi masa kini.

Penganjuran program ini turut membuktikan kesungguhan UTLC dalam menyediakan platform pembangunan profesional yang relevan dan praktikal untuk menyokong agenda pendigitalan pengajaran dan pembelajaran di UUM. – Dr. Muhamad Abrar Bahaman

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button