Campus

31 Pegawai Kanan PDRM mendaftar sebagai pelajar Sarjana Sains Pengajian Strategik UUM

Gambar Shamsaimi Ezil dan Hazree Hairudin

SINTOK, 6 Oktober 2025: Seramai 31 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Kedah dan Perlis telah terpilih serta berjaya mendaftar sebagai pelajar bagi Program Sarjana Sains Pengajian Strategik, bagi sesi pengambilan Semester Pertama Tahun Akademik 2025/2026 (A251).

Majlis pendaftaran tersebut telah berlangsung di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, yang meluangkan masa untuk menyantuni pegawai yang mendaftar.

Dr. Mohd Foad berkata, kerjasama strategik antara UUM dan PDRM telah bermula sejak tahun 2020 melalui penyertaan 35 pegawai dari IPK Perlis dalam Kohort Pertama program ini.

Menurutnya, walaupun ketika itu negara sedang berdepan cabaran pandemik Covid-19, kesemua pelajar berjaya menamatkan pengajian mereka, hasil daripada kerjasama erat antara kedua-dua institusi.

“Saya yakin bahawa pelajar ini mampu menguasai ilmu baharu serta teknologi terkini seperti ChatGPT dan Gemini untuk memperkukuh pengetahuan serta pengalaman mereka dalam bidang pengajian strategik.

“Harapan saya agar semua pelajar ini berjaya menamatkan pengajian dan dapat bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen Ke-40 UUM kelak,” katanya.

Sementara itu, Dekan SoIS, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman berkata, pendaftaran ini merupakan manifestasi kerjasama strategik berterusan antara dua institusi penting negara iaitu UUM dan PDRM, dalam usaha memperkasa pengetahuan, kemahiran, serta keupayaan intelektual pegawai keselamatan negara.

Katanya, penyertaan pegawai kanan PDRM dalam program ini membuktikan komitmen PDRM dalam melahirkan barisan pegawai yang bukan sahaja cekap dalam bidang tugas, tetapi turut berpengetahuan dalam aspek strategik dan keselamatan negara yang semakin mencabar.

“Program ini adalah kesinambungan kepada inisiatif yang dimulakan sejak tahun 2019, apabila UUM mula menawarkan program Sarjana Sains Pengajian Strategik kepada pegawai-pegawai PDRM dari IPK Perlis. Sejak itu, tiga kohort telah berjaya dilahirkan.

“Kerjasama ini menyumbang kepada pembentukan rangkaian profesional yang luas dan pembangunan komuniti strategik nasional, dengan UUM memainkan peranan penting dalam bidang pengajian keselamatan dan dasar awam,” katanya.

Dr. Nazariah turut menegaskan bahawa pihak UUM, khususnya SoIS dan GSGSG komited dalam memastikan kejayaan program bukan sahaja dari sudut akademik, tetapi juga dari segi sokongan sepanjang perjalanan pengajian. Antara inisiatif yang disediakan termasuklah modul yang fleksibel dan relevan, tenaga pengajar berpengalaman serta pentadbiran yang proaktif, bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar dan berkesan.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua 31 pegawai yang terpilih, dan menzahirkan rasa bangga UUM menjadi sebahagian daripada perjalanan profesional mereka dan berharap program ini akan menjadi satu mercu tanda kejayaan ilmu dan simbol kerjasama kukuh antara PDRM dan UUM.

Bagi Dekan GSGSG, Prof. Dr. Rusdi Omar, turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat datang kepada semua pelajar atas pemilihan mereka untuk menyambung pengajian di UUM.

Menurutnya, keputusan untuk melanjutkan pengajian ini mencerminkan semangat untuk terus menimba ilmu, di samping menunjukkan komitmen tinggi sebagai anggota barisan hadapan negara dalam memperkasa pengetahuan demi manfaat kerjaya dan masyarakat.

“UUM sentiasa berusaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan relevan dengan keperluan semasa, sambil menekankan nilai-nilai profesionalisme, integriti dan kecemerlangan.

“Walaupun anda semua adalah pegawai yang sedang berkhidmat sepenuh masa, kami percaya bahawa dengan pengurusan masa yang baik serta sokongan dari pihak fakulti, pengajian ini dapat dilalui dengan cemerlang,” katanya.

Salah seorang pelajar, Inspektor Ahmad Shaiful Ahmad Jamal, 33, dari IPK Kedah, berkongsi bahawa beliau terdorong untuk melanjutkan pengajian bagi menambah ilmu pengetahuan dan menaik taraf kehidupan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal; Timbalan Dekan Akademik, Dr. Shazwanis Shukri; Pengerusi Program INTAFF, Dr. Muhammad Ali Ridha Norman, serta pegawai-pegawai kanan PDRM dan UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button