362 pelajar baru ikrar junjung nama baik UUM
Gambar oleh Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 15 Oktober 2025: Seramai 362 pelajar baharu telah menerima tawaran kemasukan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi Sesi Akademik 2025/2026 melalui permohonan rayuan dan saluran terbuka (open channel) dalam Majlis Ikrar Pelajar Baharu yang berlangsung di Dewan Inasis Tradewinds.
Majlis yang diadakan sempena Minggu Suai Kenal (MSK) itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.
Dalam ucapannya, Naib Canselor menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan MSK serta ucapan tahniah kepada pelajar baharu yang kini secara rasmi menjadi warga UUM.
“Sebagai pelajar UUM, anda bukan sekadar datang untuk menimba ilmu, tetapi juga untuk membentuk sahsiah diri, meningkatkan kemahiran insaniah, dan menjadi individu yang berdaya maju,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelajar tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui keupayaan membangunkan potensi diri serta menyumbang kepada masyarakat.
Menurut beliau, Majlis Ikrar bukan sekadar upacara simbolik, sebaliknya melambangkan tekad dan iltizam pelajar baharu untuk menjunjung tinggi nama baik universiti serta menghayati nilai teras UUM yang menjadi budaya dan amalan warga kampus.
Majlis turut menyaksikan sesi penyerahan watikah kepada wakil pelajar .
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab; Pegawai-pegawai kanan universiti; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Pengarah Minggu Suai Kenal UUM Sesi 2025/2026, serta barisan Majlis Perwakilan Pelajar.