Campus

SOG Fiesta Night semarakkan ukhuwah dan bakat pelajar baharu

Gambar oleh Mahadi Mohd Razani dan Sr. Dr. Farahiyah Fadzil

SINTOK, 22 Oktober 2025 : SOG Fiesta Night anjuran Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna pada 22 Oktober 2025 bertempat di Dewan Angsana, EDC Hotel, UUM.

Program yang julung kali diadakan ini merupakan salah satu aktiviti dalam minggu COLGIC Connex dan telah berjaya menghimpunkan seramai 362 peserta terdiri daripada pelajar baharu SOG, staf akademik dan pentadbiran serta sekretariat program.

Penganjuran ini bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan (Kepujian), selain memperkukuh ukhuwah antara pelajar dan keluarga besar SOG.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor UUM yang menyempurnakan perasmian, serta diiringi oleh Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid, Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, dan Sr. Dr. Farahiyah Fadzil, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SOG.

Dalam ucapan perasmian, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan menekankan bahawa pelajar bukan sekadar menuntut ilmu semata-mata, tetapi universiti ini merupakan platform terbaik untuk membina potensi diri sebagai pemimpin masa hadapan.

Beliau menyeru para pelajar agar berani menghadapi cabaran dan tidak melihat kesukaran sebagai penghalang, sebaliknya menjadikannya peluang untuk berkembang serta memperkukuh sahsiah diri.

Menurut beliau, perjalanan sebagai mahasiswa sememangnya penuh tekanan dan tanggungjawab, namun setiap cabaran yang dilalui akan membentuk ketahanan diri, menjadikan pelajar lebih kuat, gigih dan mantap dalam menempuh dunia sebenar selepas bergraduasi.

Tambah beliau lagi, pembelajaran di UUM tidak hanya berlaku di bilik kuliah, tetapi universiti menyediakan gelanggang luas untuk pelajar menimba ilmu, mengasah kemahiran dan meneroka potensi diri melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti kelab, persatuan dan program universiti termasuk di peringkat antarabangsa.

Beliau turut menyeru agar setiap pelajar memberi peluang kepada diri sendiri untuk belajar dan berkembang, kerana inilah masa terbaik untuk membina jati diri, kepimpinan serta nilai integriti yang akan menjadi asas kejayaan mereka pada masa hadapan.

Majlis dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kreatif oleh pelajar termasuk dikir barat, boria, tarian Bollywood dan persembahan nyanyian. Persembahan khas daripada Dekan dan staf SOG turut mencuri perhatian hadirin, sekali gus menyerikan lagi malam penuh bermakna itu.

Menurut Sr. Dr. Farahiyah Fadzil, SOG Fiesta Night berjaya mencapai objektifnya dalam membentuk keakraban dan semangat kekeluargaan antara pelajar baharu dan warga SOG.

“Program ini memberi ruang kepada pelajar baharu untuk menonjolkan bakat, meningkatkan keyakinan diri dan memupuk budaya kerja berpasukan dalam suasana yang positif dan harmoni,” katanya.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hamper kepada kumpulan persembahan dan sesi fotografi kenangan bersama Naib Canselor serta seluruh warga SOG yang hadir. Penganjuran SOG Fiesta Night ini dijangka menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan sebagai simbol keakraban, kreativiti dan semangat kekeluargaan dalam komuniti SOG. – Sr. Dr. farahiyah Fadzil

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button