83 pelajar MPU1052 hayati pembelajaran berasaskan alam melalui ‘jungle trekking’
Gambar Ihsan Pelajar MPU1052
SINTOK, 6 Januari 2026: Seramai 83 pelajar yang mengikuti kursus MPU1052 Prinsip Keusahawanan telah menyertai program jungle trekking di kawasan hutan hijau kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai sebahagian daripada pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).
Program ini turut dibantu oleh tujuh Jurupandu Keselamatan UUM bagi memastikan aspek keselamatan dan kelancaran aktiviti sentiasa terpelihara.

Pensyarah kursus, Khairul Anuar Adnan berkata, program ini melibatkan jarak perjalanan sejauh hampir 5 kilometer yang merangkumi tiga hentian utama pembelajaran iaitu check point pertama menuju hidden lake, diikuti check point kedua titi gantung, dan seterusnya check point ketiga Pokok 3 Beradik.
Menurutnya, setiap lokasi dimanfaatkan sebagai medium refleksi dan perbincangan berkaitan elemen keusahawanan seperti daya tahan, kepimpinan, keberanian mengambil risiko, kreativiti serta kepentingan kerja berpasukan dalam menghadapi cabaran sebenar.
Katanya, pelaksanaan aktiviti pembelajaran di luar bilik kuliah ini memberi impak yang sangat positif kepada pembentukan sahsiah dan pemikiran pelajar.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk membina minda keusahawanan melalui pengalaman sebenar.

“Mereka belajar tentang kepimpinan, pengurusan risiko dan kerjasama pasukan secara praktikal, selari dengan keperluan dunia sebenar,” katanya.
Pelajar Semester 3, Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Pengurusan Perniagaan), Rohaikal Rohaizat menyifatkan program ini sebagai satu pengalaman pembelajaran yang bermakna dan mencabar.
“Aktiviti ini menguji ketahanan fizikal dan mental kami. Pada masa yang sama, ia mengajar kami tentang pentingnya semangat berpasukan, disiplin dan sikap tidak mudah berputus asa, yang amat relevan dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Sementara itu, pelajar Semester 1, Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial, Nur Hidayah Zainal berasa teruja dengan keindahan panorama hutan Sintok, terutamanya di kawasan hidden lake yang sangat menenangkan dan memukau.

“Program ini bukan sahaja mendekatkan kami dengan alam semula jadi, malah meningkatkan keyakinan diri serta semangat kerjasama dalam kalangan pelajar dan Ia menjadi pengalaman berharga terutama bagi pelajar baharu seperti saya,” katanya.
Secara keseluruhan, program jungle trekking ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada keindahan alam semula jadi kampus UUM, malah menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang holistik, seimbang serta memiliki kemahiran insaniah dan nilai keusahawanan yang kukuh. – Khairul Anuar Adnan



