AI Future Skill Accelerator: 45 staf UUM perkasa kemahiran melalui Pensijilan Teknologi
Gambar Unit Pembangunan Bakat, Jabatan Sumber Manusia
SINTOK, 28 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM), Jabatan Sumber Manusia (JSM) terus memperkukuhkan agenda transformasi digital dan pembangunan modal insan melalui pelaksanaan dua modul latihan strategik iaitu Modul Artificial Intelligence (AI) & Machine Learning dan Modul Big Data & Analytics, yang disasarkan kepada warga kerja universiti.
Seramai 45 staf UUM menjadi kumpulan pertama berjaya menyertai Program AI Future Skill Accelerator: Pemerkasaan Profesional Bumiputera melalui Pensijilan Teknologi yang dikendalikan oleh Pepper Labs dan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Peneraju.

Pelaksanaan modul latihan selama lima hari ini merupakan salah satu inisiatif strategik pembangunan sumber manusia ke arah meningkatkan tahap literasi digital, keupayaan analitikal serta kefahaman praktikal peserta terhadap penggunaan teknologi terkini dalam persekitaran kerja pentadbiran dan akademik.
Pelaksanaan kedua-dua modul ini adalah sejajar dengan aspirasi UUM untuk melahirkan warga kerja yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran pendigitalan sektor pendidikan tinggi, selaras dengan keperluan semasa dan masa hadapan.
Modul Artificial Intelligence (AI) & Machine Learning memberi pendedahan kepada konsep asas AI, aplikasi AI dalam organisasi, penggunaan alat AI secara beretika serta potensi AI dalam meningkatkan kecekapan kerja, pembuatan keputusan dan penyampaian perkhidmatan. Modul ini dirangka bagi membantu staf memahami bagaimana AI boleh dimanfaatkan secara berhemah dalam menyokong proses kerja dan tugas harian staf.

Sementara itu, Modul Big Data & Analytics memfokuskan kepada pemahaman data berskala besar, asas analisa data, serta kepentingan data dalam menyokong tadbir urus berasaskan bukti (evidence-based decision making). Melalui modul ini, peserta didedahkan kepada cara data dimanfaatkan secara strategik untuk perancangan, pemantauan prestasi dan penambahbaikan perkhidmatan di peringkat UUM.
Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Kartini Tajul Urus berkata, pelaksanaan modul ini merupakan langkah proaktif UUM dalam memastikan warga kerjanya sentiasa bersedia menghadapi perubahan landskap kerja yang semakin dipacu oleh teknologi digital.
“Modul latihan Artificial Intelligence (AI) & Machine Learning dan Big Data & Analytics ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada teknologi baharu, malah bertujuan membentuk minda kerja yang lebih analitikal, inovatif dan berorientasikan data.

“Warga UUM diharap dapat memanfaatkan data dan teknologi secara lebih berkesan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kecekapan operasi dan kecemerlangan perkhidmatan universiti secara keseluruhan.” katanya.
Komitmen dan penglibatan peserta sepanjang tempoh program ini jelas mencerminkan kesiapsiagaan warga kerja UUM dalam memperkasa kemahiran teknikal bagi memenuhi keperluan pembangunan profesional dan cabaran masa hadapan universiti.
Sehubungan itu, warga UUM digalakkan untuk menyertai modul latihan ini sebagai satu pelaburan penting dalam pembangunan profesional dan peningkatan kompetensi digital, sejajar dengan aspirasi universiti ke arah organisasi yang lebih cekap, berdaya saing dan berteraskan inovasi. – Mohd Najib Ahmad



