Alumni UUM dedah cabaran dunia media: “Berani hadapi kritikan, bina identiti’’
Berita dan gambar oleh Amirulhafez Abdullah
SHAH ALAM, 1 Julai 2025: Satu sesi inspiratif telah berlangsung di Kumpulan Media Karangkraf apabila alumni UUM, Sarjana Sains (Kewartawanan Multimedia), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi tahun 2022 yang cemerlang dalam industri media berkongsi pengalaman dan panduan kerjaya kepada 42 mahasiswa INASIS SME Bank. Sesi testimoni langsung ini menjadi sorotan utama Program Halatuju Mahasiswa yang mengangkat tema “Menyingkap Dunia Media & Korporat”.
Kolaborasi berimpak tinggi anjuran Majlis Tertinggi & Biro Informasi Penerbitan, JKPS INASIS SME Bank ini menerapkan konsep peer learning melalui perkongsian pengalaman alumni yang telah membuktikan kejayaan dalam industri media tempatan.
Antara pengisian utama termasuk sesi perkongsian perjalanan kerjaya oleh Puan Asmaliza Mansor, Wartawan Kanan Sinar Harian yang merupakan alumni UUM. Beliau turut mengongsikan pengalaman transformasi dari pelajar universiti hingga menjadi SWartawan Kanan di Sinar Harian, termasuk cabaran awal dalam industri, kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam kewartawanan, dan bagaimana pendidikan di UUM telah membentuk asas kerjayanya.
Sesi interaktif ini memberikan perspektif unik kepada pelajar tentang realiti kerja dalam industri media, tips untuk memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan, serta peluang pembangunan profesional yang tersedia. Puan Asmaliza Mansor juga berkongsi tentang evolusi industri media di Malaysia dan kepentingan adaptasi teknologi dalam profesion kewartawanan moden.
Menurut Pengarah Program Amirulhafez Abdullah, ‘’Alumni adalah aset paling berharga universiti, mereka merupakan bukti hidup kepada kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh kita. Apabila mahasiswa dibawa untuk bertemu dengan alumni yang telah membuktikan kejayaan mereka, sebenarnya sebuah ekosistem pembelajaran yang holistik sedang diwujudkan. Ini bukan sekadar pemindahan ilmu, tetapi pemindahan hikmah yang diharapkan dapat menginspirasi generasi seterusnya untuk menjadi pengubah landskap industri masing-masing’’.
Program ini turut mencerminkan aspirasi UUM dalam melahirkan graduan holistik, berdaya kepimpinan dan berjiwa masyarakat yang mampu menerajui industri media dengan integriti dan profesionalisme tinggi.