General

Anak Tawau Sabah dinobat Penerima Anugerah Diraja

Gambar oleh Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 9 November 2025: Jauh dari bumi Tawau, Sabah, seorang anak muda membuktikan bahawa jarak bukan halangan apabila tekad dan kesungguhan mengiringi setiap langkah perjuangan.

Mohammad Noor Aiman Hassan Nudin, 23, menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi, sekali gus mengangkat nama keluarga dan tanah kelahirannya.

Graduan program elit di UUM iaitu Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan turut menerima wang tunai RM7,500 sumbangan Majlis Raja-Raja sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap kecemerlangan akademik, sahsiah dan kepimpinan.

Kisah kehilangan ibu pada usia 11 tahun menjadi titik rapuh dalam hidup Mohammad Noor Aiman.

Bagaimanapun, berbekalkan sokongan ayah dan nenek yang mengasuh serta mendidiknya penuh pengorbanan, beliau bangkit mengejar ilmu tanpa menoleh ke belakang.

“Ibu pergi ketika saya masih kecil, jadi nenek mengambil alih tugas membesarkan saya. Dia sentiasa ada untuk menjaga dan memberi nasihat. Itulah yang buat saya terus kuat dan bersemangat, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk membalas jasa mereka,” katanya sebak.

Aiman menyifatkan dirinya sebagai ‘opportunist’ positif, menjadikan setiap cabaran sebagai ruang belajar. Sifat itu mendorongnya untuk tidak tunduk pada kesusahan, sebaliknya melihatnya sebagai pintu untuk memperbaiki diri.

Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Canselor UUM menyampaikan anugerah berkenaan kepada Aiman pada sesi pertama, pagi tadi.

Turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Vianca Syam A/P Shamlal, 24, graduan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa.

Bagi Vianca Syam, kejayaannya adalah hadiah untuk insan paling berharga buat ibunya, Shabnam Rihan A/P Piara Lal.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada ibu yang menjadi kekuatan saya. Anugerah ini adalah hadiah buat beliau dan keluarga yang tidak pernah berhenti mendoakan kejayaan saya,” ujar Vianca.

Beliau menekankan bahawa prinsip disiplin dan konsistensi adalah kunci kejayaannya. Jadual belajar yang teratur, ulang kaji yang konsisten, serta tidak menangguhkan tugasan menjadi pegangan dalam meniti kejayaan di pentas akademik.

Sementara itu, Wong Yoong Wai, 24, graduan Sarjana Muda Sains (Matematik Perniagaan) dinobatkan sebagai penerima Pingat Emas Canselor.

Yoong Wai menyifatkan perjalanan akademiknya bukan mudah, namun pengalaman hidup banyak mendidiknya erti ketabahan.

“Daripada pengalaman, saya belajar bahawa setiap kesakitan boleh menjadi kekuatan, dan saya sedar satu perkara bahawa saya tidak pernah berjalan seorang diri,” katanya.

Beliau meyakini bahawa sokongan keluarga, rakan-rakan dan para pensyarah adalah paksi yang mengukuhkan semangat dirinya hingga berjaya berada pada tahap tertinggi hari ini.

“Inspirasi datang daripada perjalanan, tetapi kekuatan datang daripada insan-insan yang tidak pernah melepaskan tangan saya sepanjang jalan,” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button