Campus

Analisis Belanjawan 2026, implikasi ke atas tanggungjawab individu dan perniagaan

Gambar Muhammad Muadz Madzlan

SINTOK, 9 Disember 2025: Sejajar dengan pembentangan Belanjawan 2026, UUM COB mengambil inisiatif menganjurkan program bagi membantu warga Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk memahami dengan lebih jelas impak serta keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat melalui pembentangan belanjawan Madani, baru-baru ini.

Peranan yang boleh dimainkan oleh tenaga pakar yang ada dalam bidang percukaian boleh bersama membantu menyampaikan maklumat terus kepada masyarakat bagi meningkatkan pemahaman tentang peranan dan tanggngjawab sebagai pembayar cukai terhadap perkembangan ekonomi negara.

Sesi perkongsian dalam bidang kepakaran ini yang disampaikan oleh Prof. Dr. Natrah Saad, CFiA dari Unit Cukai, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) mengulas beberapa perkara melibatkan komponen inisiatif, pelepasan dan pengecualian cukai untuk tahun 2026 kepada kepada individu dan perniagaan.

Dr. Natrah berkata, antara inisiatif utama ialah penambahbaikan potongan cukai yang mampu mengurangkan beban kewangan rakyat serta menggalakkan perbelanjaan berhemat.

Antara lain, beliau berpandangan beberapa cukai tambahan yang diumumkan seperti cukai karbon adalah langkah kerajaan untuk mendorong amalan operasi perindustrian yang lebih lestari. Beberapa skop cukai diperluaskan dan diselaras mengikut keperluan semasa negara.

Selain itu, beliau juga berkongsi kerajaan turut menekankan langkah memperkukuh penguatkuasaan cukai di sempadan bagi membanteras kegiatan rasuah serta memastikan kutipan cukai dilaksanakan dengan lebih telus dan berintegriti.

Dr. Natrah memaklumkan bahawa terdapat pelepasan cukai, semakan cukai serta pelbagai insentif yang diperkenalkan bagi membantu rakyat selaras dengan prinsip Rakyat Madani dalam Belanjawan 2026.

Sementara itu, Menjalankan Tugas Dekan TISSA-UUM, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali berkata, program sebegini wajar dilaksanakan kerana dapat membantu pihak pusat pengajian untuk mempromosikan tenaga pakar yang ada serta mampu untuk memberikan manfaat kepada masyarakat terutamanya warga UUM.

Program yang melibatkan seramai 48 peserta terdiri dari kalangan staf dan pelajar UUM turut juga dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, Menjalankan Tugas Penolong Naib Canselor UUM COB yang telah menyempurnakan acara penyampaian cenderamata di majlis tersebut. – Nur Hazlina Ghazali

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button