ANGKASA perkasa ilmu koperasi bersama pelajar
SINTOK, 1 Jun 2025: Kursus SGDFK2013 Entrepreneurship and Co-Operative Management, Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan satu sesi perkongsian ilmu bertajuk “Tadbir Urus Koperasi”.
Program yang berlangsung di Bilik SCL 2, SoE ini melibatkan penyertaan pelajar program Sarjana Muda Pendidikan Pengurusan Perniagaan dan bertujuan memperluas pemahaman mahasiswa terhadap pembangunan koperasi di Malaysia.
Sesi dimulakan dengan ucapan aluan oleh pensyarah kursus, Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad, yang mengalu-alukan kehadiran penceramah jemputan serta menzahirkan harapan agar perkongsian ini dapat memberi pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai operasi sebenar dalam dunia koperasi.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan pelajar secara aktif dalam sesi seumpama ini bagi meningkatkan kefahaman serta minat dalam bidang keusahawanan koperasi.
Ucapan turut disampaikan oleh Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mohammad Khairi Othman yang merakamkan penghargaan kepada pihak ANGKASA atas kesudian menyumbang kepakaran dalam sesi perkongsian ini.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad atas usaha menganjurkan program yang sangat bermakna ini demi manfaat pelajar.
Penceramah jemputan, Abu Bakar Busmah, Pengurus Seksyen Pendidikan, Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA dan alumni UUM, telah berkongsi secara terperinci mengenai aspek tadbir urus koperasi.
Antara topik yang dibincangkan termasuklah kepentingan ketelusan dalam pengurusan, peranan anggota lembaga dalam membuat keputusan strategik, serta pematuhan terhadap prinsip dan undang-undang koperasi yang berlandaskan nilai integriti dan akauntabiliti.
Program ini telah memberi manfaat besar kepada para pelajar ISMP Pengurusan Perniagaan, khususnya dalam memahami aplikasi sebenar tadbir urus koperasi dalam konteks pembangunan organisasi yang mampan. Diharapkan perkongsian seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada usaha mempersiapkan mahasiswa dengan ilmu dan kemahiran yang relevan dalam sektor koperasi.