Campus

Anjakan pemikiran ke arah menjayakan konsep ‘Amalan Sedikit Pahala Berganda’

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin

SINTOK, 12 Mac 2025: Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Wacana IPDM siri kedua bagi tahun 2025 bersempena 10 Ramadan umat Islam berpuasa.

Penceramah jemputan yang tidak asing lagi bagi warga UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri, Pengarah Pusat Islam telah mengupas dengan mendalam perihal tajuk ‘Amalan Sedikit Pahala Berganda’ dan Pengarah IPDM, Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib selaku moderator mengambil peluang untuk mengajukan beberapa soalan kepada penceramah.

Mohd Yusnaidi berkata, umat Islam dituntut mengutamakan beramal menurut syariat Islam yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW. Ini termasuklah zikir-zikir maa’thur seperti subhanallah (33x), alhamdulillah (33x), dan Allahu akbar (33x) selepas solat.

Beliau menekankan agar setiap dari kita semua memperkemaskan penguasaan fardhu ain dan fardhu kifayah, ke arah pembinaan organisasi dan negara.

“Soleh bukan hanya pada pakaian atau luaran, sebaliknya ia adalah pada ketauhidan, pegangan dalam kehidupan. Justeru, setiap dari kita di atas apapun kepakaran dalam fardhu kifayah kita, berhak menjadi soleh dengan amalan Fardhu Ain yang menurut syariat kerana Allah semata-mata.

“Mendoakan saudara atau kenalan tanpa diketahui olehnya juga merupakan amalan besar yang dipandang Allah, maka lakukanlah dan sentiasa bersangka baik dengan orang sekeliling,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya mempunyai strategi yang baik dalam mengatur kehidupan dengan memegang amalan yang selari dengan ajaran Islam.

Menurutnya, setiap manusia ingin menjadi baik. Itu adalah fitrah dalam jiwa manusia. Namun, iblis dan syaitan sentiasa mencuba untuk menarik manusia ke jalan yang sesat, maka, umat Islam disarankan untuk berusaha melakukan amalan yang terbaik dengan niat utk menggembirakan Allah.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button