Audit akreditasi penuh bagi dua program Sarjana Undang-undang di UUMKL berjaya dilaksanakan
Gambar oleh Hisaruddin Ahmat
KUALA LUMPUR, 14 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (UUMKL) telah berjaya melaksanakan Audit Pematuhan Akreditasi Penuh bagi dua program pascasiswazah, iaitu Sarjana Undang-undang Sumber Manusia dan Sarjana Undang-undang Komersial, yang diadakan selama dua hari.
Audit ini merupakan satu langkah penting dalam proses jaminan kualiti akademik yang bertujuan memastikan program yang ditawarkan memenuhi standard yang ditetapkan serta bersedia untuk menerima pengiktirafan akreditasi penuh.
Proses audit telah dikendalikan oleh empat orang panel auditor luar, iaitu Prof. Dato’ Dr. Nor Aziah Mohd Awal, Prof. Dr. Ruzian Markom, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, dan Prof. Dr. Salawati Mat Basir – kesemuanya mempunyai kepakaran luas dalam bidang undang-undang, pentadbiran akademik dan pembangunan kurikulum. Kehadiran Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud, Pengarah Pusat Swaakreditasi UUM, turut memberi sokongan sepanjang perjalanan audit.
Selain semakan dokumen, panel turut menjalankan sesi temu bual bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk pengurusan kanan, penyelaras program, pensyarah tetap dan sambilan, serta wakil pelajar daripada kedua-dua program. Sesi ini memberi ruang kepada panel untuk mendapatkan pandangan secara langsung mengenai pelaksanaan program serta mengenal pasti cabaran yang dihadapi.
Provos UUMKL, Prof. Dr. Norlena Hasnan, dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang proses audit berlangsung. Beliau turut menegaskan bahawa audit ini bukan sahaja bertujuan untuk mendapatkan akreditasi penuh, malah menjadi peluang penting untuk menilai keberkesanan pelaksanaan program dan mengenal pasti ruang penambahbaikan.
“Kami amat menghargai input yang diberikan oleh panel audit dan akan mengambil langkah susulan berdasarkan penemuan serta cadangan yang dikemukakan. UUMKL sentiasa komited dalam memastikan program akademik yang ditawarkan menepati piawaian kualiti yang tinggi serta memberi nilai tambah kepada pelajar dan masyarakat,” ujar beliau.
Pihak pengurusan UUMKL turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada School of Law dan Unit Swaakreditasi atas komitmen serta kerjasama yang telah diberikan sepanjang proses audit berlangsung. Penglibatan aktif pihak fakulti dalam penyediaan dokumen, penyelarasan maklumat, serta sesi libat urus bersama panel auditor telah memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran dan kejayaan keseluruhan proses penilaian.
Proses audit ini dijangka akan disusuli dengan laporan penuh daripada panel auditor, dan tindakan susulan yang berkaitan akan dilaksanakan oleh pihak UUMKL sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan dalam sistem jaminan kualiti akademik.