Campus

Bengkel Double Tax RMC UUM kupas isu pemberian dua kali cukai kepada syarikat penyumbang

Berita dan gambar Rasimah Md. Radzi

SINTOK, 16 Disember 2025: Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Double Tax khas untuk staf UUM di EDC UUM, semalam.

Bengkel ini disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Nik Ahmad Shahril N. Mohd Nabil yang memberikan tumpuan khusus kepada isu pemberian dua kali cukai (double taxation) yang melibatkan syarikat-syarikat yang menyumbang dana, tajaan atau sumbangan kepada UUM, khususnya dalam konteks penyelidikan, endowmen dan kerjasama industri.

Dalam pembentangannya, Nik Ahmad menjelaskan secara terperinci mengenai konsep double taxation serta implikasinya terhadap syarikat penyumbang, termasuk situasi di mana sumbangan yang diberikan berpotensi dikenakan cukai lebih daripada sekali sekiranya tidak ditangani mengikut peruntukan undang-undang percukaian yang betul.

“Pemahaman yang jelas berkaitan peruntukan cukai amat penting bagi memastikan sumbangan yang diberikan oleh syarikat kepada universiti tidak menimbulkan beban cukai yang tidak sepatutnya.

“Ini juga dapat menggalakkan lebih banyak penglibatan pihak industri dalam menyokong pembangunan akademik dan penyelidikan universiti,” katanya.

Bengkel ini turut memberi pendedahan kepada staf UUM tentang peranan universiti dalam memastikan pengurusan sumbangan, tajaan dan dana penyelidikan dilaksanakan selaras dengan garis panduan percukaian LHDN, di samping mengelakkan risiko ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan hubungan strategik dengan pihak penaja.

Sesi soal jawab yang diadakan secara interaktif membolehkan peserta mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan kes-kes sebenar, prosedur dokumentasi, serta langkah-langkah praktikal yang boleh diambil oleh pihak universiti bagi melindungi kepentingan semua pihak yang terlibat.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen RMC UUM dalam memperkukuh kefahaman staf terhadap aspek tadbir urus kewangan dan percukaian, khususnya yang berkaitan dengan pengurusan dana sumbangan dan kerjasama industri.

Usaha ini juga dilihat sebagai langkah proaktif bagi memastikan kelestarian hubungan antara UUM dan syarikat penyumbang pada masa hadapan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button